Superintenden Zaiham Mohd Kahar

BENTONG – Polis menafikan dakwaan kononnya berlaku penculikan seorang wanita di hadapan sebuah kedai makan di kawasan Karak, di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil semakan dan siasatan awal di premis berkenaan mendapati dakwaan tersebut adalah palsu dan kejadian seperti yang didakwa, tidak berlaku.

Menurutnya, pemilik premis turut membuat laporan polis berhubung penularan maklumat berkenaan pada jam 9.21 malam, 24 Ogos lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, Zaiham memohon kerjasama pemilik akaun media sosial ‘nadiahrafiq_’ untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan berhubung penularan hantaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, orang ramai juga perlu membuat semakan serta mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah.

Tegasnya, Polis Bentong memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur kesalahan di bawah undang-undang,” katanya.

Zaiham berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah hendaklah disalurkan terus kepada pihak polis bagi membolehkan semakan dan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau menyeru orang ramai supaya kekal tenang, tidak panik dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kebenarannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here