KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM71.3 juta sehingga 2025 bagi melaksanakan usaha penanaman, penyelenggaraan, penyelidikan, pemantauan dan kesedaran awam berkaitan ekosistem hutan paya laut di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara.
Katanya, menerusi program berkenaan, sebanyak 3,965 hektar kawasan hutan paya laut di seluruh negara berjaya dipulihkan melalui penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau dan spesies yang sesuai.
“Usaha ini adalah hasil komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara dan memulihara ekosistem pesisiran pantai,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena Majlis Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah.
Majlis yang bertemakan “Ekosistem Hutan Paya Laut Ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru” itu disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Menurut Arthur, bagi meneruskan agenda pemuliharaan itu, kerajaan memperuntukkan RM2 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun ini untuk usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut serta kawasan pesisiran pantai di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, usaha pemuliharaan dilaksanakan secara kolaboratif membabitkan JPSM, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), selain pelbagai pihak berkepentingan.
“Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat turut menjadi antara faktor penting dalam memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Sejumlah 12 NGO dan komuniti setempat telah memainkan peranan dalam menyokong usaha kerajaan menerusi aktiviti pendidikan alam sekitar, kesedaran awam dan pemuliharaan ekosistem,” katanya.
Dalam majlis itu, Tuanku Raja Muda Kedah turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada empat NGO dan komuniti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memelihara ekosistem hutan paya laut.
Mereka ialah Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Taman Nilam, Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak, Lembah Bujang serta Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING).
Sementara itu, sambutan berkenaan turut disokong menerusi penganjuran Seminar Hutan Paya Laut dan Pesisiran Pantai Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 oleh JPSM dengan kerjasama FRIM.
Seminar itu menampilkan 12 kertas kerja, 15 poster teknikal dan sembilan reruai pameran berkaitan pengurusan, penyelidikan serta pemuliharaan hutan paya laut.
Platform berkenaan turut menyediakan ruang kepada penyelidik, pegawai teknikal, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan untuk berkongsi ilmu serta amalan terbaik bagi memperkukuh pengurusan ekosistem hutan paya laut negara. – MalaysiaGazette
















