Nasrul turut menziarahi Rozita di Hospital Melaka susulan kejadian berkenaan.

MELAKA – Dua wanita cedera termasuk darah beku di kepala dan gegaran otak selepas terkeluar dari pelampung ketika bermain gelongsor air sebuah taman tema air terkenal di Ayer Keroh, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika kedua-dua wanita berkenaan sedang bercuti bersama ahli keluarga.

Menurutnya, Razita Abd Razak, 46, mengalami kecederaan di bawah dagu, sakit kepala dan dada serta luka pada lutut kanan, selain hasil imbasan CT mendapati terdapat sedikit darah beku di bahagian kanan kepalanya.

Sementara itu, Norfazlin Badrol Hisham, 31, mengalami gegaran otak selepas pengsan ketika menuruni gelongsor berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa menaiki pelampung berkembar sebelum pelampung dipercayai seperti melanggar sesuatu ketika menuruni gelongsor.

“Razita yang berada di bahagian hadapan pelampung mendakwa kepalanya terhantuk pada dinding gelongsor dan tidak mengingati apa yang berlaku selepas itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Tambahnya, Norfazlin bagaimanapun tidak dapat mengingati kejadian dan hanya tersedar ketika berada di bahagian terbuka gelongsor.

“Razita dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan pemeriksaan sinar-X mendapati tiada kecederaan, namun imbasan CT pada bahagian kepala menunjukkan terdapat sedikit darah beku di bahagian kanan kepala.

“Norfazlin yang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pula didapati mengalami gegaran otak, namun tiada kecederaan lain dialami,” katanya.

Nasrul turut menziarahi Rozita di Hospital Melaka susulan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua mangsa sebelum itu dilihat keluar dari gelongsor tanpa pelampung dan tidak memasuki lubang air yang sepatutnya sebelum ditemui dalam keadaan pengsan.

“Kejadian disedari anak Razita, Nur Sabira Mustaza, 22, yang berada bersama keluarga di taman tema berkenaan sebelum dia membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 11.05 pagi, Ahad lalu.

“Siasatan polis bagaimanapun mendapati tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Tourism Melaka dalam kenyataan di media sosial rasminya memaklumkan Pengurus Besarnya, Nasrul Ahmad turut menziarahi Rozita di Hospital Melaka susulan kejadian berkenaan.

“Rozita dilaporkan mengalami kecederaan neurologi, pendarahan kecil di bahagian kepala serta luka kecil di dagu dan kini menerima rawatan serta pemantauan lanjut pihak hospital,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here