Mohamad Zahir dan Nur Wahidah diiringi pegawai penyiasat kes, Inspektor A.Kiruban di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Sepasang tunang yang mempunyai rekod jenayah dan dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang wanita sehingga menyebabkan kecederaan.

Tertuduh, Mohamad Zahir Saad dan Nur Wahidah Mohd Radzuan, masing-masing berusia 39 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan samun terhadap seorang wanita dengan merentap rantai emas yang dipakai mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian leher, tangan kiri dan jari telunjuk tangan kanan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bahagian dapur sebuah rumah di Jalan Assumption di sini, kira-kira jam 3 petang, pada 17 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Mohamad Zahir merayu supaya mahkamah memberikan jaminan minima, manakala Wahidah turut memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung ibu bapanya yang sakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim membantah permohonan jaminan yang dimohon kedua-dua tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan pada 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

MalaysiaGazette difahamkan, kedua-dua tertuduh sebelum ini pernah ditahan berkaitan kes samun di Pahang, namun hanya Mohamad Zahir didakwa di mahkamah atas kes berkenaan tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here