WASHINGTON – Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) menghalang rancangan untuk melelong lebih 100 artifak yang ditemui dari bangkai kapal Titanic, sekali gus memihak kepada Kerajaan AS dan kumpulan pemuliharaan yang membangkitkan kebimbangan mengenai cadangan penjualan serta penjagaan koleksi bersejarah itu.
Menurut laporan The Washington Post, Hakim Daerah Rebecca Beach Smith di Norfolk, Virginia, memutuskan pada hari Isnin bahawa lelongan berkenaan perlu ditangguhkan.
Beliau menolak hujah RMS Titanic, syarikat yang memegang hak eksklusif untuk menyelamatkan artifak dari bangkai kapal itu, bahawa artifak berkenaan berada di luar bidang kuasa mahkamah.
Smith berkata, sebarang penjualan artifak perlu mendapat kelulusan mahkamah terlebih dahulu.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan koleksi milik RMS Titanic, termasuk mengambil kira masalah kewangan yang dihadapi syarikat itu.
Hakim berkenaan mengarahkan syarikat tersebut mengemukakan inventori artifak kepada mahkamah berserta maklumat mengenai keadaannya.
RMS Titanic sebelum ini mencadangkan untuk melelong lebih 100 barangan yang ditemui dalam ekspedisi laut dalam beberapa dekad lalu.
Koleksi itu termasuk barang kemas bertatahkan permata, peralatan makan serta patung gangsa berbentuk kerub yang pernah menghiasi tangga utama Titanic.
Cadangan lelongan itu mendapat bantahan daripada Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), selain ahli sejarah dan arkeologi yang berpendapat artifak berkenaan perlu dipelihara dan dikekalkan sebagai satu koleksi.
Kerajaan Perancis turut membantah penjualan tersebut kerana negara itu terlibat dalam ekspedisi yang menemukan sebahagian daripada artifak berkenaan.
Titanic karam di Lautan Atlantik Utara pada April 1912 selepas melanggar bongkah ais dalam pelayaran sulungnya dari Southampton ke New York.
Tragedi itu mengorbankan lebih 1,500 orang. – Agensi
















