Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan memastikan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu penting bagi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, desakan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak dan tidak boleh dikompromi.

“Kerajaan Madani berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah serta memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang,” katanya.

Zulkifli berkata, keanggotaan RCI TH terdiri daripada enam tokoh berwibawa dengan kepakaran dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, syariah dan audit.

“Gabungan kepakaran ini memastikan setiap siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan RCI itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2021, selain selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu supaya sebarang penyelewengan disiasat `hingga ke lubang cacing’.

Sebagai rekod, PAC disyorkan supaya menubuhkan sebuah badan penyiasat khas di bawah tanggungjawabnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu pengurusan Lembaga TH bagi tempoh 2018 hingga 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor sebagai berkata, cadangan itu dikemukakan secara tidak formal oleh Ahli-ahli Parlimen yang hadir dalam wacana intelektual bertajuk Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini, semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here