Kementerian Pendidikan Tinggi.

KUALA LUMPUR – Semua prosiding tatatertib berkaitan dengan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam dihentikan berkuat kuasa serta merta.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya bagaimanapun menegaskan, kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab dan keluhuran undang-undang.

Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Menurutnya, bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU, penelitian yang sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing yang berkaitan mahasiswa agar selaras dengan langkah pembaharuan yang dilaksanakan di bawah AUKU.

Jelas KPT ia adalah langkah segera untuk memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa, seiring dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 13 berkaitan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] (AUKU).

Dalam forum tersebut, perdana menteri menegaskan bahawa sementara proses pembangunan kerangka perundangan baharu dilaksanakan, langkah-langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera, tanpa perlu menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu selesai.

“Sehubungan itu, KPT telah meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera.

“Beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera.

“Antaranya ialah kebebasan pengurusan persatuan dan kelab; kebebasan pengurusan aktiviti pelajar; dan dan kebebasan bersuara, berhimpun, penggunaan platform komunikasi dan pengedaran serta penerbitan dokumen,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut KPT, ia terus komited meneruskan pembangunan tatakelola pendidikan tinggi yang terbuka, tersusun dan inklusif mela Lui penglibatan semua pemegang taruh bagi memastikan penghasilan satu ekosistem pendidikan tinggi masa hadapan negara yang berkualiti. – MalaysiaGazette

Mahasiswa kritik PM sekalipun patut dibebaskan mulai esok – Anwar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here