KUALA LUMPUR – Seramai 528 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Ops Sasar yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dari 25 hingga 27 Ogos lalu.
JIM berkata, seramai 678 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu berkenaan susulan aduan dan maklumat orang awam serta hasil risikan pihaknya.
“Seramai 678 warga asing diperiksa dan daripada jumlah tersebut 528 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu katanya, JIM Putrajaya melaksanakan operasi di dua lokasi membabitkan sebuah tapak pembinaan di Jalan Wangsamas, Setapak dan premis perniagaan di sekitar Dato’ Keramat.
Katanya, seramai 83 warga asing diperiksa dan 73 daripada mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen di kedua-dua lokasi tersebut.
“Mereka terdiri daripada 37 warga Indonesia, 30 Bangladesh, dua Nepal serta masing-masing seorang dari Togo, Burkina Faso, Myanmar dan India,” katanya.
JIM berkata, sebahagian besar warga asing yang ditahan didapati sedang bekerja ketika serbuan dijalankan dan apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, ada warga asing cuba melarikan diri, namun gagal sebelum ditahan.
Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan menjalankan pekerjaan tanpa kebenaran, selain kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen. – MalaysiaGazette
















