KUALA LUMPUR – Seramai 69 usahawan mikro daripada pelbagai latar belakang dan budaya yang diketengahkan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ diangkat sebagai simbol kecekalan rakyat di negara ini membina sumber pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan menyumbang kepada komuniti.
Kempen berlangsung sepanjang bulan ini melabuhkan tirainya menerusi Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 & Karnival BSN Mikro MADANI yang berlangsung di Wisma BSN di Jalan Ampang.
Karnival itu menghimpunkan usahawan mikro yang menerima sokongan BSN menerusi pelbagai pameran dan aktiviti sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mengenali kisah serta produk yang dihasilkan usahawan berkenaan.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kisah perjalanan usahawan mikro BSN merupakan kejayaan yang wajar diraikan kerana mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan.
Menurut beliau, seramai 69 usahawan yang diketengahkan itu mewakili hampir 180,000 usahawan mikro BSN sekali gus membuktikan komitmen institusi berkenaan dalam memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara.
“Usahawan mikro adalah nadi pembangunan ekonomi negara yang melambangkan semangat keusahawanan rakyat Malaysia. Dengan pelbagai sokongan dan inisiatif kerajaan, saya yakin usaha-usaha ini dapat membantu mereka membina perniagaan yang lebih mampan,” katanya ketika hadir pada karnival berkenaan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ bertujuan meraikan kisah usahawan serta impak positif keusahawanan terhadap komuniti.

Katanya, sokongan BSN kepada usahawan mikro bukan sekadar menyediakan pembiayaan, sebaliknya turut membantu mereka mengembangkan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada masyarakat sekeliling.
Dalam perkembangan sama, hampir 5,000 cup sleeve edisi khas bertemakan batik yang diinspirasikan daripada motif batik uniform teller BSN telah diedarkan oleh usahawan terpilih kepada pelanggan mereka di seluruh negara.
Lebih menarik, reka bentuk cup sleeve berkenaan dihasilkan menerusi sentuhan kreatif pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam yang merupakan Sekolah Angkat MADANI BSN 2025.

Menurut Mujibburrahman, inisiatif itu bukan sahaja menghubungkan bidang keusahawanan dengan kreativiti malah membuka ruang kepada pelajar berkongsi bakat dan hasil usaha mereka dengan masyarakat.
Pada masa sama, BSN turut memperkukuh pembangunan usahawan dan kewangan sosial menerusi program literasi kewangan yang diadakan khusus untuk usahawan OKU daripada MyOKU Preneur serta usahawan desa di bawah KEMAS, Khadijah Artisans dan USAHANITA.
BSN menegaskan, komitmennya untuk terus menyokong usahawan mikro pada setiap peringkat perjalanan mereka, termasuk membantu meningkatkan kelestarian perniagaan serta memperkukuh ekonomi dan komuniti setempat. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















