KUALA LUMPUR – Zetrix AI Group Bhd menafikan sebarang penglibatan atau kaitan dengan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan susulan khabar angin yang mengaitkan syarikat itu dengan tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap beliau hari ini.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menyatakan, pihaknya menyedari bahawa khabar angin atau spekulasi tanpa asas yang mengaitkannya dengan Saravanan mungkin mempengaruhi aktiviti dagangan saham syarikat baru-baru ini.
Zetrix AI mengakhiri dagangan hari ini pada 59.5 sen dengan 1.05 bilion saham diniagakan.
“Syarikat ingin memperjelas bahawa tidak terbabit mahupun mempunyai sebarang kaitan dalam apa jua bentuk sekalipun dengan Saravanan berhubung tiga tuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya pada 28 Ogos 2026 di Mahkamah Sesyen berkaitan kelulusan kuota pekerja asing,” jelasnya.
Kumpulan itu memaklumkan, tiada asas bagi khabar angin atau spekulasi berkenaan selain pihaknya tidak mengetahui akan sebarang hubungan di antara pertuduhan itu dengan perniagaan serta urusan kumpulan.
Syarikat itu menambah, selain daripada perkara yang melibatkan khabar angin berkenaan, ia tidak mengetahui akan sebarang penjelasan lain yang mungkin bagi aktiviti dagangan tersebut.
Ia juga mengesahkan bahawa syarikat mematuhi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd terutamanya Perenggan 9.03 mengenai kewajipan pendedahan serta-merta. – BERNAMA
















