Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus memainkan peranan sebagai pintu mobiliti sosial bagi anak Melayu dan Bumiputera, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar untuk membina masa depan lebih baik menerusi pendidikan.

Baginda tidak mahu apabila UiTM semakin besar dan maju, golongan sasar yang menjadi sebab asal institusi berkenaan diwujudkan dibiarkan tercicir atau menjadi semakin jauh daripada peluang pendidikan tinggi.

“Anak seorang petani, nelayan, pemandu, pekerja kilang atau keluarga miskin di kampung mesti terus diberi keyakinan bahawa sekiranya mereka mempunyai kebolehan dan kesungguhan untuk mencapai ketinggian ilmu, UiTM akan menyediakan jalan untuk mereka mengubah masa hadapannya.

“Itulah roh perjuangan UiTM yang tidak seharusnya hilang,” titah baginda pada Majlis Titah Diraja UiTM 2026 bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ di Dewan Konsert Seri Budiman di sini hari ini.

Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Majlis anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sultan Selangor bertitah penubuhan UiTM telah membuka ruang pendidikan yang sebelum itu sukar ditembusi oleh ramai anak bangsa, sekali gus menjadi wadah penting dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi.

Baginda bertitah pada 1965, institusi yang menjadi asas kepada UiTM hari ini hanya mempunyai kira-kira 219 pelajar dan 11 tenaga pengahar, sebelum berkembang pesat dalam tempoh sedekad dengan jumlah pelajar mencecah hampir 7,000 orang dan tenaga pengajar kira-kira 1,000 orang.

Dalam tempoh itu, institusi berkenaan turut menawarkan sekitar 60 program pengajian selain mula memperluas penubuhan kampus cawangan ke beberapa negeri.

“Hari ini, UiTM telah menjadi antara institusi pengajian tinggi terbesar di negara ini. UiTM kini melahirkan lebih 40,000 graduan setiap tahun, manakala jumlah keseluruhan alumninya telah melepasi angka sejuta.

“Dengan jumlah yang begitu besar ini, Beta yakin sumbangan alumni seharusnya dapat diperkasakan dan memberikan impak lebih signifikan. Justeru, Beta ingin mencadangkan agar satu sistem dibangunkan bagi membolehkan setiap alumni menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun kepada UiTM sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas segala jasa serta bakti institusi ini sepanjang tempoh mereka menimba ilmu.

“Beta percaya sumbangan RM10 sebulan itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu bentuk pengorbanan demi memastikan kelangsungan serta kemajuan UiTM.

Titah Sultan Sharafuddin, dana yang terkumpul dan berpotensi mencecah sehingga RM100 juta setahun itu bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk pembangunan UiTM dalam pelbagai aspek, malah diharapkan dapat membantu pelajar baharu dan sedia ada yang berdepan dengan kemiskinan serta kesukaran dalam meneruskan pembiayaan pendidikan.

“Di sinilah pegangan terhadap slogan ‘UiTM Dihatiku’ yang sering dilaungkan para pelajar, tenaga pengajar dan alumni dapat dibuktikan secara nyata dan harus diingat bahawa di sebalik setiap angka dan statistik tersebut, terdapat anak-anak Melayu dan Bumiputera daripada keluarga kurang berkemampuan yang telah berjaya mengubah kehidupan mereka melalui pendidikan serta peluang menuntut ilmu di UiTM.

“Kita dapat melihat graduan UiTM hari ini berada di mana-mana, dalam hampir setiap industri dan sektor. Mereka menjadi akauntan, jurutera, doktor, peguam, arkitek, ahli akademik, usahawan, penjawat awam, tokoh korporat, penggiat seni dan media, serta pemimpin dalam pelbagai bidang.

“Sebahagian daripada mereka telah menerajui organisasi besar, membina perniagaan, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara.

“Inilah antara ukuran sebenar kejayaan UiTM, bukan sekadar pada jumlah pelajar, graduan atau alumninya, tetapi pada sejauh mana institusi ini telah mengubah kehidupan anak bangsa dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara,” titah baginda. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here