BUTTERWORTH – Bomba mengambil masa lebih 10 jam untuk memadam kebakaran sebuah kilang memproses kain fabrik bagi kegunaan sofa di Jalan Bagan Ajam di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.09 petang semalam, pemilik kilang, H’ng Seng Peng, 58, turut melecur tahap satu pada bahagian tangan dan leher.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran membabitkan sebuah kilang jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 60 x 100 kaki persegi.
Katanya, api berjaya dikawal jam 6.28 petang, namun kerja-kerja pemadaman berterusan sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.35 pagi ini.
“Pemilik kilang yang melecur tahap satu pada bahagian tangan serta leher diberikan rawatan awal oleh pihak KKM sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan susulan.
“Secara keseluruhan kilang berkenaan musnah 80 peratus manakala sebuah lori empat tan dan sebuah forklift turut mengalami kemusnahan 90 peratus.
“Selain itu, dua buah motosikal turut mengalami kemusnahan 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, seramai 26 anggota bomba termasuk Ketua Balai terbabit dalam operasi dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Penanti, Kepala Batas, Jalan Perak, Bandar Perda, Bertam dan Perai.
Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran serta sebuah jengkaut milik syarikat swasta bagi membuka ruang untuk pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman.
“Komander Operasi mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) lengkap menjalankan kerja pemadaman secara kaedah ‘offensive’ dan ‘defensive’ serta ‘fire break’.
“Teknik melemaskan api menggunakan foam serta bantuan jengkaut digunakan bagi membuka ruang untuk memadamkan api secara ‘direct attack’.
“Selepas api berjaya dipadamkan pada jam 4.35 pagi, pasukan bomba meneruskan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.59 pagi,” katanya.
Kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















