KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semalam berhubung keputusan kes melibatkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dua tahun lalu, masih boleh dikritik dari sudut perundangan dan perlembagaan.
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpendirian, meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan wajar dihormati, kenyataan beliau boleh diperdebatkan khususnya mengenai pendekatan yang digunakan mahkamah tertinggi negara dalam menentukan sempadan kuasa legislatif negeri dan Persekutuan.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, lebih-lebih lagi, isu tersebut kini kembali relevan apabila Kelantan telah menggubal enakmen Syariah baharu pada Ogos 2026 sebagai maklum balas terhadap keputusan Nik Elin.
Ketika menggariskan lima ulasan berhubung kenyataan Tengku Maimun, Zainul Rijal berkata, ukuran yang lebih berhati-hati mungkin diperlukan supaya kuasa negeri tidak menjadi sekadar kuasa untuk menggubal kesalahan yang benar-benar bersifat ritual atau keagamaan sahaja.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) berpendirian, perlu dibezakan antara `kesalahan yang juga mempunyai kepentingan awam’ dengan `undang-undang jenayah umum’.
“Hakikat bahawa sesuatu perbuatan mempunyai implikasi terhadap moral atau ketenteraman awam tidak semestinya bermaksud ia hanya boleh menjadi subjek undang-undang Persekutuan.
“Dalam konteks undang-undang Syariah, sesuatu perbuatan boleh pada masa yang sama mempunyai dimensi agama dan sosialnya,” dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini.

Zainul Rijal mengulas kenyataan Tengku Maimun yang menegaskan keputusan kes melibatkan Nik Elin pada 2024 dibuat bukan untuk menjejaskan kesucian agama Islam atau melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah.
Ketika berucap pada Majlis Syarahan Perdana bertajuk Integriti Pemangkin Jiwa Merdeka di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, Tengku Maimun sebaliknya menekankan keputusan itu dibuat bersandarkan prinsip cabaran ketidaklayakan.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, kenyataan bekas Ketua Hakim Negara bahawa keputusan tersebut tidak melemahkan Mahkamah Syariah, perlu dilihat berdasarkan kesan doktrinal keputusan itu, bukan semata-mata niat mahkamah.
“Benar bahawa Mahkamah Persekutuan tidak membatalkan kewujudan atau kedudukan Mahkamah Syariah.
“Namun, apabila 16 peruntukan undang-undang Syariah dibatalkan kerana dianggap berada di luar kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN), keputusan tersebut sememangnya mempunyai implikasi terhadap keluasan kuasa legislatif negeri dalam bidang jenayah Syariah.
“Maka adalah sah dari sudut akademik untuk bertanya sama ada tafsiran tersebut secara tidak langsung mengecilkan ruang lingkup undang-undang Syariah negeri,” katanya.
Zainul Rijal yang juga seorang peguam turut menyatakan, isu yang dibangkitkan tidak sepatutnya dipermudahkan sebagai sekadar persoalan sama ada DUN Kelantan telah menggubal `undang-undang jenayah’ yang merupakan bidang kuasa Parlimen.
Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan sendiri memberikan kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang mengenai penciptaan dan hukuman kesalahan terhadap ajaran Islam, tertakluk kepada pengecualian perkara dalam Senarai Persekutuan.
Justeru katanya, persoalan perlembagaan yang lebih mendasar ialah sejauh mana pengecualian tersebut boleh digunakan sehingga menyingkirkan kuasa nyata yang diberikan kepada negeri.

Zainul Rijal turut berpendirian, penghakiman minoriti Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli (ketika itu) menunjukkan bahawa persoalan tersebut bukanlah mempunyai hanya satu jawapan perlembagaan yang tidak boleh diperdebatkan.
Beliau yang turut menganggotai panel bersidang mengambil pendekatan berbeza berhubung locus standi (hak di sisi undang-undang) dan keupayaan mahkamah untuk `sampai’ kepada merit cabaran tersebut.
“Perbezaan pendapat ini penting dalam wacana undang-undang kerana ia menunjukkan bahawa terdapat persoalan prinsip yang serius mengenai bagaimana cabaran perlembagaan terhadap undang-undang negeri sepatutnya dibawa dan diputuskan,” ujarnya.
Menurut Zainul Rijal, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin mungkin tidak dimaksudkan untuk melemahkan Mahkamah Syariah, tetapi kesannya terhadap ruang kuasa legislatif negeri dalam menggubal undang-undang jenayah Syariah tetap wajar diperdebatkan.
Katanya, persoalan utama bukan niat mahkamah, tetapi sama ada tafsiran terhadap pembahagian kuasa dalam Jadual Kesembilan telah memberikan tafsiran yang terlalu luas kepada kuasa Parlimen dan pada masa yang sama mengecilkan kuasa nyata negeri untuk menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam. – MalaysiaGazette
















