MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpuas hati dengan segala persiapan yang disusun menjelang sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran 1 Malaysia, Klebang hari ini.
Beliau berkata, ia berdasarkan persembahan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan semua pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam raptai penuh berkenaan.
“Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang ditunjukkan pada raptai penuh hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Klebang hari ini.
Ab Rauf menjangkakan lebih 60,000 pengunjung dalam dan luar negeri berkenaan akan hadir menyaksikan sambutan hari bersejarah itu pada 31 Ogos ini.

Pengunjung ujarnya, tidak sewajarnya melepaskan peluang untuk menyaksikan keupayaan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan pada acara kemuncak itu nanti.
Paling menarik, ujarnya, orang ramai akan dapat melihat aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang buat pertama kalinya dipamerkan pada Hari Kebangsaan kali ini.
“TLDM menyediakan enam buah aset kapal perang untuk disajikan pada rakyat Melaka untuk membuat lawatan sambil belajar.

“TUDM pula akan memberikan persembahan lintas hormat daripada enam buah pesawat Sukhoi tempur yang cukup mengagumkan dan tiga buah aset kapal pengangkutan udara Airbus yang melintasi ruang udara dan perairan Melaka,” katanya.
Keunikan itu, tambahnya, hanya dapat disaksikan pada sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Melaka.
Dalam pada itu, Ab Rauf mengajak orang ramai memasuki 15 lokasi pelancongan menarik di Melaka secara percuma pada 31 Ogos ini.
Seramai 12,000 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam raptai penuh berkenaan hari ini. – MalaysiaGazette
















