Reaksi ahli keluarga kepada 49 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal-Tibet, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Kumpulan sokongan keluarga rakyat Malaysia terjejas dalam tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di sempadan Nepal-China menggesa kerajaan menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara untuk mengesan kira-kira 49 warganegara yang masih hilang.

Wakil keluarga rakyat Malaysia yang hilang, Ts Dr Manivanan Rethinam berkata, sudah lebih 72 jam tragedi itu melanda di kawasan Rasuwagadhi di sempadan Nepal-China namun nasib dan lokasi mangsa masih belum dapat dipastikan.

Selain itu, kerajaan juga digesa mewujudkan platform saluran komunikasi khas bagi memastikan perkembangan terkini berkait tragedi itu dapat disampaikan secara telus agar keluarga tidak tertekan dengan emosi.

“Setiap jam amat berharga dan tanpa perkembangan atau maklumat akan memberi tekanan kepada ahli keluarga. Bagi mereka ini bukan sekadar kes orang hilang, mereka adalah ibu bapa, adik beradik, pasangan dan anak-anak kami.

“Kami juga memahami kawasan bencana ini amat mencabar kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat. Namun dalam krisis sebesar ini, komunikasi yang tepat pada masanya, konsisten dan telus juga amat penting,” katanya dalam sidang media Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) di sini hari ini.

Wakil ahli keluarga mangsa, Dr. Manivannan Mirigaya (tengah), bercakap pada sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) yang mewakili keluarga kepada 50 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal-Tibet, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 OGOS 2026.

Tambah Manivanan berkata, MASFIH akan mengemukakan beberapa tuntutan kepada Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China untuk menyediakan kemas kini rasmi sekurang-kurangnya sekali sehari.

Katanya, maklumat mengenainya penting bagi membolehkan keluarga mengetahui status terkini pencarian, kawasan operasi SAR serta perkembangan daripada pihak berkuasa Nepal dan China.

“Kalau tiada perkembangan sekali pun, beritahu kami bahawa tiada maklumat baharu. Sekurang-kurangnya kami tahu perkara ini sedang dipantau dan usaha mencari masih diteruskan.

“Jangan biarkan keluarga terpaksa mencari maklumat daripada pelbagai sumber tidak rasmi kerana keadaan itu hanya menambahkan tekanan dan kebimbangan.

“Kami juga mendesak pelantikan pegawai perhubungan khas di Kathmandu dan Beijing yang boleh berkomunikasi secara langsung dengan wakil MASFIH bagi memastikan maklumat disampaikan secara konsisten kepada semua keluarga yang terjejas,” jelasnya.

Wakil ahli keluarga mangsa, Dr. Manivannan Mirigaya bercakap pada sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) yang mewakili keluarga kepada 50 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal-Tibet, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 OGOS 2026.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan kebenaran segera menghantar pasukan SAR Malaysia ke lokasi kejadian untuk membantu operasi SAR di kawasan yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar.

Pada masa sama, Manivanan berkata, MASFIH menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan maklumat daripada pihak berkuasa China.

“Terdapat kemungkinan mangsa terperangkap di kawasan kastam dan imigresen China atau telah melepasi sempadan menuju ke Gyirong atau Kerung di Tibet ketika banjir berlaku,” jelasnya.

Reaksi ahli keluarga kepada 50 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal-Tibet, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 OGOS 2026.

Dalam pada itu, Manivanan berkata, seramai 36 rakyat Malaysia yang dilaporkan selamat dalam tragedi itu mendakwa mereka adalah pasukan pendaki yang memasuki dari Tibet, China dan pihak Wisma Putra perlu membuat pengesahan mengenai perkara tersebut.

Pihaknya turut mendedahkan wujud percanggahan dalam rekod rasmi apabila sembilan mangsa daripada kumpulan Dream Tibet Travels and Tours didakwa tidak tersenarai dalam rekod Lembaga Pelancongan Nepal.

“Dakwaan kami ialah syarikat yang menguruskan permit perjalanan tidak melaporkan kehilangan kumpulan berkenaan kepada pihak berkuasa Nepal,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang masih hilang terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Leaf Holiday membabitkan 23 rakyat Malaysia dan tiga warga Singapura, Dream Tibet Travels and Tours (sembilan rakyat Malaysia) serta Fishtail Tours and Travels (17 rakyat Malaysia).

“Kami tidak mencari konfrontasi. Kami hanya mahukan jawapan dan tindakan. Kami merayu agar kerajaan Malaysia tidak meninggalkan sebarang ruang tanpa diteroka demi membawa pulang orang tersayang kami dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata, MASFIH bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Wisma Putra dan agensi berkaitan bagi memudahkan proses perkongsian serta pengesahan maklumat mangsa di lapangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here