PETALING JAYA – Ketika minat masyarakat terhadap gaya hidup aktif semakin berkembang, sebahagian pengusaha pusat kecergasan dan sukan di Selangor masih menguruskan operasi perniagaan menggunakan WhatsApp serta buku nota.
Situasi itu mendorong Katch International Sdn Bhd memperkenalkan gerakan NADI: Connecting Wellness, Fitness & Sports bagi membantu pengusaha dalam tiga sektor berkenaan beralih kepada pengurusan perniagaan berasaskan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Katch International, Lee Cheng Yun berkata, pendigitalan industri tidak seharusnya dilihat sebagai usaha memperkenalkan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi pengusaha dan pengguna.
“Memberikan mereka peralatan digital yang betul bukan mengenai teknologi untuk teknologi itu sendiri.
“Ia adalah mengenai membolehkan seorang penduduk Selangor mencari kelas, gelanggang atau klinik hanya dengan beberapa ketikan. Itu keseluruhan tujuannya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Cheng Yun berkata, NADI menyasarkan untuk membantu mendigitalkan 1,000 perniagaan wellness, kecergasan dan sukan di Selangor menjelang 2027 dengan tumpuan kepada pengurusan tempahan, keahlian, pakej dan pembayaran secara lebih tersusun.
“Usaha itu dilihat selari dengan perkembangan budaya sukan di Selangor yang semakin mendapat perhatian masyarakat, khususnya selepas negeri itu muncul juara keseluruhan SUKMA 2026,” katanya.
Selain itu gerakan tersebut mendapat sokongan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menghadiri pertemuan sulung NADI pada 27 Ogos lalu.
“Pertemuan berkenaan menghimpunkan kira-kira 50 pemilik perniagaan wellness, kecergasan dan sukan di Hyprground Pickleball, Seksyen 19, Petaling Jaya,” katanya.
Menurut Cheng Yun, dalam sesi dialog bersama pengusaha, Raja Muda Selangor menekankan kepentingan mewujudkan budaya bersukan secara berterusan dan memperkukuh aktiviti sukan di peringkat akar umbi.
“Pendekatan itu memberi dimensi lebih luas kepada NADI kerana pembangunan ekosistem sukan tidak hanya bergantung kepada kemudahan dan atlet.
“Bahkan turut memerlukan pengusaha, pengamal, studio, gimnasium, gelanggang serta penyedia perkhidmatan yang mampu berkembang secara mampan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















