Kredit : FB Ahmad Rosli

KUALA LUMPUR – Muhammad Rosli, seorang daripada pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan menerusi pembedahan di Arab Saudi pada 2002, meninggal dunia pada 10.45 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, di sini.

Berita duka itu dimaklumkan saudara kembarnya, Ahmad menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Assalamualaikum, saya abang kepada Muhammad ingin memberitahu bahawa kembar saya telah kembali kepada Sang Pencipta-Nya pada 10.45 pagi.

“Terima kasih yang tak putus-putus mendoakan kesejahteraan Muhammad dan hanya Allah dapat membalas jasa kamu semua,” katanya.

Jenazah Muhammad dilaporkan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya kira-kira 6 petang tadi.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad disahkan menghidap kanser pundi kencing dan menjalani rawatan di Hospital King Fahd National Guard, Riyadh, Arab Saudi sejak Julai 2025.

Muhammad dilaporkan menjalani lima pembedahan dan lima sesi kemoterapi di hospital berkenaan sebelum disahkan pulih dan meneruskan rawatan susulan.

Semalam, Ahmad memaklumkan keadaan kesihatan Muhammad kurang baik selepas kandungan asid dalam darahnya dilaporkan terlalu tinggi sehingga menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar.

Muhammad dan Ahmad pernah mendapat perhatian negara apabila menjalani pembedahan pembahagian hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2001 dan pada September 2002, kedua-duanya berjaya dipisahkan menerusi pembedahan kompleks selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here