ISKANDAR PUTERI – Pengendali Star City FC, Mehmed Durakovic mengakui berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi bukan perkara yang mudah terutama apabila tewas 0-7.
Beliau akur dengan kehebatan Harimau Selatan yang disifatkan berada dalam kelas tersendiri lebih-lebih lagi anak buahnya bertandang ke laman JDT.
Mehmed sedar anak buahnya melakukan kesilapan mudah yang terus dihukum oleh jentera serangan Harimau Selatan.
“Kami bermula dengan baik pada 20 hingga 25 minit pertama, namun kesilapan individu memakan diri. Apabila mereka menjaringkan gol, segalanya mula serba tidak menjadi kerana JDT mempunyai barisan pemain yang sangat berkualiti.
“Apapun, saya perlu juga berikan pujian kepada barisan pemain saya kerana mereka tidak berputus asa melawan dan berjuang sehingga minit akhir permainan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.
Mengulas mengenai kesilapan penjaga gol yang membawa kepada jaringan pertama JDT, Durakovic enggan menuding jari sebaliknya menganggap kekalahan itu sebagai proses pembelajaran buat skuadnya yang masih dalam fasa pembentukan.
“Kita semua manusia biasa dan tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang penting adalah bagaimana pemain bangkit dan belajar supaya tidak mengulanginya lagi,” ujarnya.
Ditanya mengenai keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti pada minit ke-77, beliau memilih untuk tidak memanjangkan isu berkenaan.
“Sama ada ia penalti atau tidak, hakikatnya JDT terlalu kuat untuk kami malam ini. Kita perlu berani mengakui bahawa kami masih jauh di belakang mereka,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kejayaan serta standard tinggi yang ditunjukkan oleh JDT sepatutnya dijadikan penanda aras buat kelab-kelab lain di Malaysia untuk terus berkembang.
Fokus pasukannya kini terarah kepada proses pemulihan fizikal berikutan jadual padat yang menyaksikan mereka perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari. – MalaysiaGazette
















