KUALA LUMPUR – Tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya setakat 5 petang tadi.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi dicatatkan di kawasan IPD Serian dengan IPU mencecah 436.
Ia diikuti Samarahan dengan bacaan 337, manakala Bandar Kuching merekodkan bacaan 321.
Bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya sekali gus menunjukkan keadaan kualiti udara yang sangat tidak sihat dan berisiko kepada kesihatan.
Keadaan itu turut menunjukkan Sarawak kini menjadi antara kawasan paling terjejas susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
Sementara itu, dua kawasan di Sarawak direkodkan bacaan IPU tidak sihat dimana Sri Aman mencecatkan bacaan 260 dan Sarikei 210.
Bacaan IPU sederhana masih dicatatkan di 20 kawasan dengan Kota Kinabalu, Sabah tertinggi dengan cacatan 97 IPU, Sungai Petani, Kedah (95), Kimanis, Sabah (95), Minden Pulau Pinang (93) dan Keningau, Sabah (93).
Orang ramai di kawasan terbabit dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar terutama ketika bacaan IPU berada pada tahap bahaya.
Bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa dan orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini melalui sistem pemantauan kualiti udara rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS). – MalaysiaGazette
















