Antara gambar terakhir Muhammad Adib yang dihantar di grup WhatsApp rakan pendaki pada 26 Ogos lalu. Gambar ihsan - Luqman.

SEBERANG PERAI – “Kalau bukan kerana urusan kecemasan pada saat akhir, saya pasti bersama  Adib di Nepal”.

Itu kata rakan rapat Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, antara pendaki yang dilaporkan hilang sehingga kini susulan banjir di Nepal.

Luqman Hakim, 27, dan Adib sudah hampir 11 tahun berkawan dan sering berkongsi minat sama termasuk aktiviti larian serta mendaki.

Katanya, mereka juga sempat mendaki bersama di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada 17 Jun lalu yang menjadi pertemuan terakhir mereka sebelum Adib berangkat ke Nepal.

“Ketika itu kami berbual seperti biasa dan Adib masih belum mempunyai perancangan yang jelas untuk menyertai perjalanan ke Nepal.

“Saya sangat berharap Adib selamat pulang ke pangkuan keluarga dan dapat kembali berlari bersama saya kerana kami berkongsi hobi yang sama,” katanya hari ini.

Luqman (kiri) dan Adib (kanan) pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, dua tahun lalu. Gambar ihsan – Luqman.

Luqman yang bekerja sebagai jurutera pengeluaran di Perai turut berada dalam kumpulan WhatsApp pendakian yang disertai Adib dan rakan-rakan lain.

Menurutnya, mesej terakhir dalam WhatsApp kumpulan berkenaan diterima sekitar 9.24 pagi pada 26 Ogos lalu dengan lokasi video terakhir yang dikongsikan di Syabrubesi.

“Ketika itu, Muhammad Adib meminta Muhaimin iaitu rakan pendakiannya menghantar gambar yang diambil sehari sebelum kejadian.

“Saya berkali-kali cuba menghubungi Adib sehingga ke saat ini tetapi gagal,” katanya.

Luqman berkata, dia dan Muhammad Adib biasanya bertemu setiap satu hingga dua bulan sekali mengikut kelapangan masing-masing kerana waktu cuti mereka tidak sama.

“Semoga dia terus kuat dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman berkata, dua lagi pendaki, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29, tidak dikenalinya secara rapat.

Dia berharap perkembangan mengenai kehilangan ketiga-tiga pendaki berkenaan dapat diketahui segera dan mereka semua ditemukan dalam keadaan selamat.

Media sebelum ini melaporkan tiga pendaki, Muhammad Adib bersama Muhammad Muhaimin dan Muhammad Zaki dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.

Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here