PUTRAJAYA – “Saya bukan marah, saya hot sahaja,”
Demikian kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunanan di bawah kementeriannya.
Katanya, terdapat kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan seperti ditetapkan termasuk projek-projek Jalan Luar Bandar (JALB) namun masih berdepan dengan isu kelewatan pembayaran hingga mempersalahkan KKDW.
“Kita tidak menerima bayaran kerana puncanya tidak disalurkan kepada kita tetapi kita sering disalahkan, audit akan menyalahkan projek kita lambat. Public Account Committee (PAC) akan menyalahkan kita lambat.
“Kita efisien, kita segera, kita cepat tapi kalau mereka tidak buat pembayaran, bagaimana kita mahu membayar? Berapa banyak kontraktor telah tutup kedai? Berapa ramai disaman oleh pembekal bahan? Berapa banyak subkontraktor yang menyaman main kontraktor? KKDW disalahkan, tetapi punca orang lain.
“Dalam masa sama, terdapat program dan projek pembangunan yang terpaksa diperlahankan atau disusun semula berikutan pelarasan peruntukan kewangan itu. Saya memahami kekangan fiskal yang sedang kita uruskan tetapi perkara ini perlu ditangani secara lebih strategik.
“Saya memohon supaya pihak yang berkenaan memberikan perhatian serius terhadap isu ini. Bajet yang telah diumumkan, hendaklah disalurkan! Jangan… tidak ada peruntukkan dalam bajet, tetapi itu yang dilaksanakan, yang patut dibayar, tidak dibayar.
“Yang tidak perlu dibayar, dibayar. Itu masalah dihadapan kita. Saya bukan marah. Saya hot saja. Ini cabaran yang berada di hadapan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulananan KKDW di sini hari ini.

Tambah Timbalan Perdana Menteri itu, isu tersebut perlu diberi perhatian serius serta menggesa seluruh jabatan dan agensi di bawah KKDW perlu melaksanakan ‘Operasi Sifar Tertangguh’ sepanjang bulan September ini.
“Kini sudah memasuki bulan September dengan masa yang berbaki. Dalam pentadbiran, masalah yang tertangguh tidak pernah kekal pada kos yang sama. Semakin lama sesuatu keputusan ditangguhkan, semakin tinggi kosnya.
“Saya mahu setiap pihak melihat semula semua projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset dan keputusan yang masih belum diselesaikan. Kemudian saya mahu ia dibahagikan dengan jelas kepada tiga kategori.
“Yang boleh diselesaikan (selesaikan segera), yang memerlukan keputusan atau intervensi lebih tinggi (escalate dan tetapkan siapa yang perlu membuat keputusan.), yang tidak lagi praktikal atau berdaya maju (jangan terus simpan dalam sistem). Buat keputusan dan tutup,”ujarnya. – MalaysiaGazette
















