SHAH ALAM – Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan secara berperingkat di Sarawak, Kedah dan Perlis mulai 3 hingga 5 September ini bagi menangani keadaan jerebu dan meningkatkan kualiti udara di kawasan terjejas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi tersebut akan diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Jelas beliau, pelaksanaan OPA di Sarawak diberi keutamaan susulan keadaan jerebu di beberapa kawasan yang semakin serius dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri 500.
“Di Sarawak, tahap jerebu di sesetengah kawasan telah mencapai tahap bahaya, ada yang indeksnya hingga hampir 500.
“Apa yang akan dilakukan NADMA bersama MetMalaysia dan TUDM adalah Operasi Pembenihan Awan dengan segera,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Konvensyen Belia Desa 2026, hari ini.
Beliau berkata, OPA di Sarawak membabitkan kawasan Empangan Batang Ai, Bakun, Murum, Bengoh, Gerugu, Assyakirin, Sika dan Matang.
Kedah, operasi itu akan dilaksanakan di Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris, manakala Perlis membabitkan Empangan Timah Tasoh.
Ahmad Zahid berkata dalam masa yang sama MetMalaysia akan memberi nasihat mengenai lokasi sesuai untuk OPA, terutama kawasan yang berada pada tahap bahaya, bagi memastikan luruan angin membawa hujan ke kawasan paling terjejas.
“Kita akan lakukan koordinasi ini dengan kadar segera kerana kita merasakan negeri Sarawak wajib dibantu kerana kebakaran di Kalimantan merebak terlalu luas dan menjejaskan kira-kira tiga perempat wilayah Sarawak.
“Kita mesti membantu,” katanya lagi.
Sebagai rekod dilaporkan, sebanyak enam lokasi di Sarawak masih merekodkan IPU pada tahap bahaya dengan melebihi 300 setakat jam 10 pagi tadi.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Serian merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan IPU melebihi 400.-MalaysiaGazette
















