KUALA LUMPUR – Perniagaan yang berdepan masalah insolvensi merentasi sempadan kini mempunyai mekanisme perundangan lebih jelas untuk diselamatkan, sekali gus membantu melindungi nilai aset, pelaburan dan pekerjaan di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerusi kenyataan bersama berkata, Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] yang mula berkuat kuasa pada 28 Ogos lalu menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi membabitkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa.
Jelas kenyataan itu, penguatkuasaan akta berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan.
“Akta ini turut membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan,” menurut kenyataan bersama itu.
Tambahnya, kerangka perundangan baharu itu turut memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan, selain meningkatkan kepastian undang-undang serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan.
Akta 877 adalah hasil kerjasama kedua-dua kementerian selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan, progresif dan sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial serta perdagangan antarabangsa.
Akta berkenaan berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), sebelum disesuaikan dengan undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.
“Kerajaan Madani komited memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















