KUALA TERENGGANU – Seramai 15 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya lulus ujian kelayakan dan memperoleh lesen profesional menerusi Program Pensijilan Profesional di bawah skim Program Tauliah Industri dan Profesional (KPTiP).
Program berkenaan mendedahkan mahasiswa kepada kepakaran Ujian Tanpa Musnah atau Non-Destructive Testing (NDT), iaitu teknik “melihat” kecacatan dalaman bahan tanpa perlu merosakkannya.
Program teknikal itu ditawarkan khusus kepada pelajar tahun ketiga dan akhir daripada pelbagai bidang pengajian ijazah UMT.
Menurut Pengarah Pusat UMT Life, Profesor Dr. Hafiza Aishah Bt. Hashim, penganjuran program pensijilan berkenaan membuktikan komitmen UMT dalam menyokong Dasar Pendidikan Tinggi Negara bagi memperkasakan kemahiran praktikal berimpak tinggi.
Katanya, UMT mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah bersedia menerajui industri global dengan pentauliahan bertaraf dunia.
Latihan intensif selama 25 hari itu mendedahkan pelajar kepada dua kaedah utama iaitu Magnetic Particle Testing (MT) dan Liquid Penetrant Testing (PT).
Kaedah MT melibatkan penggunaan medan magnet untuk mengesan retak pada bahan logam, manakala PT menggunakan cecair khas yang meresap masuk ke dalam keretakan halus pada pelbagai jenis bahan pepejal.
Kepakaran NDT merupakan komponen keselamatan yang kritikal dalam pelbagai sektor industri berisiko tinggi seperti minyak dan gas, penerbangan serta pembinaan.
Melalui teknik berkenaan, pemeriksaan berkala dapat dijalankan bagi mengesan kerosakan seawal mungkin tanpa perlu memotong atau merosakkan komponen asal peralatan.
Mahasiswa yang lulus peperiksaan dianugerahkan Certification of Proficiency di bawah International Personnel Certification Scheme (IPCS) yang diiktiraf mengikut piawaian ISO 9712.
Pemilikan sijil bertaraf dunia itu memberikan kelebihan kebolehpasaran kepada graduan dalam pasaran kerja yang kompetitif, selain memberi keyakinan untuk melangkah ke pasaran kerja dengan pakej kemahiran yang lengkap.
Program sebegini dijangka akan terus diperluas bagi melahirkan lebih ramai profesional muda yang berdaya saing demi memacu kemajuan industri negara. – MalaysiaGazette
















