KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan susulan berhubung penyertaan seorang individu dalam pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand, Ahad lalu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata kerjasama itu termasuk memantau perkembangan berkaitan isu berkenaan dan meneliti sebarang tindakan yang boleh diambil selaras dengan peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
“Sebagai institusi fatwa dan penasihat agama di Wilayah Persekutuan, JMWP menegaskan bahawa sebarang bentuk penganjuran, penyertaan atau publisiti terhadap aktiviti yang mempromosikan gaya hidup sedemikian tidak pernah mendapat kebenaran mahupun sokongan daripada pihak berkuasa agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan tindakan menyertai pertandingan berkenaan bukan sahaja mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa, malah jelas bercanggah dengan ajaran Islam, prinsip Maqasid Syariah, norma budaya serta nilai kesopanan masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, perbuatan menyerupai jantina berlawanan atau tasyabbuh serta mempromosikan gaya hidup transgender bertentangan dengan hukum syarak dan tidak mendapat pengiktirafan di sisi undang-undang Syariah di Wilayah Persekutuan.
“Islam menuntut umatnya menjaga maruah diri, akhlak dan fitrah kejadian manusia,” katanya lagi.
Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam supaya tidak mensensasikan, mengagung-agungkan atau menormalisasikan perkara yang bercanggah dengan syariat, sebaliknya mempertahankan nilai moral, akidah dan adab sebagai benteng ummah.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dalam satu kenyataan mengecam tindakan individu tersebut.
Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang individu didakwa mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik transgender peringkat antarabangsa, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.-MalaysiaGazette
















