Dakwaan Pertandingan Miss Equality World 2026 berlangsung di Pulau Pinang tidak benar.

KUALA LUMPUR – Sebarang usaha yang membawa kepada normalisasi atau pengiktirafan terhadap identiti dan amalan yang bercanggah dengan fitrah serta syariat Islam tidak boleh diraikan atau dijadikan kebiasaan dalam masyarakat dan wajar dihentikan segera.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, pihaknya memandang serius isu tular berhubung dakwaan penglibatan seorang individu yang dikaitkan sebagai wakil Malaysia dalam pertandingan ratu cantik transgender di peringkat antarabangsa.

“Atas prinsip tabayyun, YADIM berpandangan dakwaan itu wajar terlebih dahulu disahkan melalui saluran dan pihak berautoriti berkaitan, agar masyarakat tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap dan belum dipastikan kesahihannya.

“Dalam mempertahankan prinsip itu, YADIM turut menyeru masyarakat agar mengutamakan pendekatan dakwah amar ma’ruf dan nahi munkar.

“Dakwah menuntut pendekatan yang berilmu, berhikmah dan penuh ihsan, termasuk terhadap mereka yang berhadapan kecelaruan dan kekeliruan berkaitan identiti dan kehidupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai badan dakwah ujarnya, YADIM telah melaksanakan usaha bimbingan secara langsung bersama komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), termasuk melalui Program Gold Camp yang kini telah memasuki tahun keenam.

“Program ini menjadi antara wadah YADIM untuk mendekati, menyantuni dan memberikan bimbingan keagamaan serta sokongan kepada golongan yang memerlukan dan pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, YADIM akan terus mendekati dan membimbing masyarakat secara berhikmah, inklusif serta berteraskan syariah, agar tiada golongan terpinggir daripada ruang dakwah dan bimbingan,” jelasnya.

Tambah beliau, usaha itu pastinya tidak mampu menghapuskan semua insiden berkaitan kecelaruan identiti tanpa sokongan semua pihak dan peringkat masyarakat khususnya umat Islam.

“Justeru YADIM menyeru pihak berkuasa berkaitan supaya meneliti dakwaan tersebut dan sekiranya benar terdapat unsur yang melanggar undang-undang atau peraturan sedia ada.

“Hukuman ke atas mereka hendaklah disertakan bersama pakej bimbingan dan tarbiah agar mereka tidak kembali ke tabiat asal yang melanggar syariah dan undangundang.

“YADIM akan terus mempertahankan prinsip syariat dalam masa sama memperkukuh pendekatan yang menyantuni, membimbing dan membuka ruang perubahan, demi kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here