KUALA LUMPUR – Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] sudah berkuat kuasa pada 28 Ogos lalu bagi menyediakan mekanisme khusus untuk mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa.
Akta berkenaan merupakan hasil kerjasama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut kenyataan bersama, Azalina dan Armizan berkata, penguatkuasaan Akta 877 selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan Madani bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan, progresif serta sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial dan perdagangan antarabangsa.
Akta itu berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), dengan penyesuaian kepada undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.

“Penguatkuasaan Akta 877 akan meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan, memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan serta meningkatkan kepastian undang-undang.
“Akta ini turut melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan, selain membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan,” menurut mereka dalam kenyataan itu.
Tambah mereka, Kerajaan Madani komited memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa. – MalaysiaGazette
















