MERSING – Mohamad Sohaizi Mohd Sanin, 38, sempat menghantar video menerusi WhatsApp kepada kakaknya sebelum kejadian dua bot berlanggar yang meragut nyawanya malam tadi.
Kakak mangsa, Suhailah Mohd Sanin, 51, berkata, perkongsian tersebut dihantar arwah adiknya beberapa jam sebelum maut dalam insiden berkenaan.
“Takdir Allah itu cantik. Allah dah susun perjalanan hidup kita ni. Berlapang dadalah… redhalah dengan takdirnya.
“Ini adalah ayat yang dihantar kepada saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.15 malam tadi, Sohaizi yang memandu bot Sea Queen membawa enam individu bertembung dengan bot Rawa Birds yang dinaiki tiga individu di Kuala Sungai Mersing, kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing.
Kemalangan tersebut meragut nyawa Sohaizi dan seorang lagi penumpang, Lee Wei Chung, 32, manakala empat yang lain cedera parah.
Kejadian berlaku apabila bot Sea Queen yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Besar bertembung dengan bot Rawa Birds yang baru berlepas dari jeti menuju ke Pulau Rawa.
Bercerita lanjut, Suhailah berkata, perkongian adiknya itu dianggap penuh bermakna malah menyentuh hati mengenai keredhaan dan ketentuan ilahi terhadapnya.
Dia menganggap arwah seakan-akan memberi petanda serta pesanan buat ahli keluarga dan rakan-rakan supaya reda dengan pemergiannya.
Menurutnya, selain status puitis berkenaan, adiknya itu juga sempat mengirim pesanan WhatsApp penuh tersirat kepadanya pada 20 Ogos lalu.
“Dia kata, ‘Kak, akaklah kakak dunia akhirat saya.’ Masa itu saya tak rasa apa-apa yang pelik, cuma saya balas minta dia bekerja elok-elok.
“Saya pesan, kita ni dah tak ada mak ayah, yang tinggal cuma kami adik-beradik. Bila teringat kembali status dan pesanan terakhir itu, hati jadi sangat sebak,” katanya.
Suhailah dimaklumkan tragedi yang menimpa adiknya sekitar pukul 8 malam selepas diberitahu anak saudaranya.
Menurutnya, arwah yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik itu seorang yang pendiam namun sangat mahir dalam selok-belok pertukangan enjin.
”Arwah memang minat kerja laut mengikut jejak arwah abah yang juga seorang nelayan. Kerja hakikinya baiki enjin bot, tetapi pada masa sama dia ada mengambil upah sambilan membawa bot penumpang.
“Kami memang jarang berjumpa, saya duduk di Johor Bahru sementara arwah duduk di Mersing. Kali terakhir kami berjumpa pada sambutan Aidilfitri lalu,” katanya.
Tambahnya jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Tahiriyyah di sini. – MalaysiaGazette
















