KOTA TINGGI – Kegembiraan sekumpulan 15 remaja berkhemah sempena cuti sekolah berakhir tragedi apabila empat dikhuatiri lemas manakala dua terselamat ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar di sini semalam.
Ketika berita ini disiarkan, operasi mengesan mangsa-mangsa yang hilang masih lagi dilakukan sehingga kini.
Mangsa yang masih belum ditemui ialah Alif Taqiudin, Mohd Haiman, Adib Rizqi dan Thaqif Rayyan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Adib Tarmuzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 6.19 petang.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 9 kilometer.
“Maklumat awal daripada orang awam terdapat enam mangsa lemas semasa melakukan aktiviti mandi manda di pantai.
“Mereka semuanya merupakan remaja berusia 16 tahun yang datang untuk aktiviti camping di pantai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum pihak bomba tiba.
“Empat lagi remaja masih hilang, operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette
















