Daniel Khoo

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik di lebuh raya bagi memantau sebarang perbuatan mencurigakan termasuk cubaan sengaja menumpahkan minyak di atas jalan raya.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, langkah itu penting sebagai usaha pencegahan sekiranya terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba melakukan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

“Walaupun insiden dua treler di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak baru-baru ini adalah kemalangan, kita tidak boleh pandang ringan soal tumpahan minyak di atas jalan.

“Bayangkan motosikal atau kereta yang dipandu laju melalui kawasan itu. Pemandu boleh hilang kawalan dan kemalangan susulan boleh meragut nyawa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu melihat kemungkinan berlaku perbuatan disengajakan pada masa akan datang dan mengambil langkah awal bagi mengesannya.

“Kalau ada orang cuba tuang minyak atas jalan dengan sengaja, kita perlu ada sistem untuk kesan siapa yang buat. Jangan selepas kejadian berlaku baru kita mula mencari bukti,” jelasnya.

Daniel berkata, pemasangan CCTV bukan sahaja membantu memantau keadaan trafik, tetapi boleh menjadi bukti sekiranya berlaku perbuatan jenayah.

“Kalau seseorang berhenti di tepi jalan, turun daripada kereta dan cuba tuang minyak, kamera boleh rakam. Daripada situ polis boleh semak siapa orangnya, kenderaan yang digunakan dan ke mana dia pergi.

“Sekurang-kurangnya ada bukti untuk membantu siasatan dan tindakan undang-undang,” tambahnya.

Menurutnya, CCTV wajar dipasang terutama di kawasan yang mempunyai aliran trafik tinggi serta lokasi dikenal pasti berisiko berlaku kemalangan.

“Kita bukan kata kemalangan yang berlaku baru-baru ini itu disengajakan. Itu kemalangan dan siasatan akan menentukan puncanya.

“Tetapi kita bercakap mengenai pencegahan. Kalau ada orang cuba melakukan perkara sama selepas ini, kita tahu CCTV sudah ada untuk memantau dan merakam,” ujarnya.

Tegasnya, perbuatan menumpahkan minyak di atas jalan sekiranya dilakukan dengan sengaja bukan lagi sekadar kenakalan, sebaliknya boleh mengancam nyawa orang lain.

“Jangan tunggu sampai ada nyawa melayang baru kita ambil tindakan. Kalau pemasangan CCTV boleh membantu mencegah perkara ini dan pada masa sama memberi bukti kepada polis, kita perlu buat,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here