JASIN – Seorang pemandu ambulans swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Senin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu ambulans jenis Toyota Hiace secara melulu sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, di lampu isyarat simpang tiga Kampung Ayer Merbau, di sini, kira-kira jam 9.15 pagi pada 26 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak lebih lima tahun.

MalaysiaGazette pada 26 Ogos lalu melaporkan mangsa, pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Jasin kira-kira jam 10.30 pagi.

Kemalangan turut menyebabkan tertuduh patah tangan, manakala dua penumpang ambulans iaitu pembantu perubatan, Daim Abdullah, 24, dan K. Seras @ Jeyaraj, 81, mengalami kecederaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Hafiz Othman mencadangkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh berserta syarat lesen memandu digantung sementara sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here