KOTA TINGGI – “Kami tidak tahu adik akan keluar berkhemah di tepi pantai, dia hanya maklumkan pergi bersama rakan-rakannya ke tempat lain”.
Demikian luah kakak kepada seorang mangsa dari empat remaja lelaki yang lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini hari ini.
Nur Adriana Dania Rumainoor, 24, menerima berita adiknya, Muhammad Thaqif Rayyan lemas di pantai, selepas diberitahu rakannya pukul 7.30 pagi tadi.
Dia menyifatkan adik bongsu daripada tiga beradik itu sangat rapat dengannya selepas kematian ibu mereka sejak 2021.
Jelasnya, segala pergerakan atau rahsia adiknya pasti akan dikongsi kepadanya terlebih dahulu berbanding bapa mereka.

“Dia memang terus terang dengan saya dulu, takkan beritahu ayah sebab saya yang ada dengan dia 24 jam. Kalau ada apa-apa info, sama ada saya beritahu ayah atau tunggu dia balik baru kami maklumkan.
“Tapi semalam dia tak ada cakap langsung nak pergi berkhemah kat sini. Dia cuma cakap nak pergi tempat lain. Pagi tadi sekitar pukul 7.30 pagi, kawan dia tiba-tiba datang rumah beritahu adik saya dah lemas,” katanya ketika ditemui di pos kawalan tempat kejadian di pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini hari.
Dalam kejadian pukul pagi tadi, seramai 15 remaja semuanya berusia 16 tahun berkhemah sempena cuti sekolah di pantai berkenaan dan mandi sebelum enam daripadanya lemas.
Dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam manakala empat yang lemas hilang sebelum seorang daripadanya ditemui tengah hari ini.
Mayat pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul Mohamad ditemukan pukul pukul 1.15 petang manakala Muhamad Haiman Fitri Supian, Muhammad Adib Hafiz Kamal dan Mohamad Rayyan Thaqif Rayyan masih belum ditemui.

Mengimbas perubahan sikap adiknya, Nur Adriana berkata, adiknya menunjukkan perubahan menjadi lebih pendiam.
“Seminggu dua ni memang dia tak banyak cakap, diam. Balik sekolah dia makan terus masuk bilik. Malam tadi pun dia cuma maklumkan nak keluar macam biasa.
“Malah akaun media sosial seperti TikTok pun dia hide daripada saya dan ayah, hanya kawan-kawan dia sahaja yang dapat lihat status perkhemahan mereka,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Rumainoor Salleh, 47, keluarganya reda dengan apa yang berlaku dan berharap jasad anaknya ditemui untuk disemadikan.
“Kami sekeluarga reda dengan apa berlaku.. kalau dah tak ada, dapat bawa balik jasad dia pun kami dah cukup alhamdulillah,” katanya

Dia langsung tidak menyangka niat anaknya untuk keluar rumah semalam berakhir dengan tragedi memilukan.
Dia yang bekerja syif malam hanya menyedari kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu pada awal pagi selepas mendapati bilik tidurnya kosong.
“Dia cuma ada beritahu kakaknya nak pergi Johor ikut emak kawan. Saya balik kerja malam, pagi tadi bangun tengok bilik dia dah tak ada. Telefon banyak kali pun tak berangkat.
“Sekitar pukul 8.10 pagi, barulah saya terima panggilan telefon daripada anak maklumkan mengenai kejadian ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















