KUALA LUMPUR – Lebih 2,000 anggota Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) di seluruh negara mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pemuda Nasional PBM, Hanis Asmui berkata, keputusan itu dibuat susulan keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti yang semakin terhakis dan tidak lagi dapat dipulihkan.
Menurutnya, jawatan kuasa Pemuda PBM di peringkat pusat, negeri dan bahagian turut dibubarkan berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini dibuat secara sebulat suara, sukarela dan tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak.
“Saya telah mengambil kira hakikat bahawa keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti semakin terhakis dan tidak lagi dapat dipulihkan,” katanya dalam sidang media khas yang turut dihadiri Ketua Pemuda Wawasan, Faiz Rahmad di sini hari ini.

Hanis berkata, kehilangan kepercayaan itu berpunca daripada beberapa kenyataan pimpinan atasan yang disifatkan dangkal dan mengelirukan, terutama apabila menyentuh sensitiviti agama serta kaum.
Katanya, keadaan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan akar umbi mengenai hala tuju serta kepimpinan parti.
“Kami berpandangan bahawa kepimpinan sedia ada tidak lagi mencerminkan aspirasi sebenar ahli-ahli di peringkat akar umbi serta telah gagal menunjukkan komitmen serius terhadap pembaharuan menyeluruh yang amat diperlukan pada masa ini,” katanya.
Susulan keputusan tersebut, Hanis turut mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta sebagai Ketua Pemuda Nasional PBM, Timbalan Pengerusi PBM Negeri Johor dan Ketua PBM Bahagian Muar.
Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan untuk menyertai Wawasan dibuat kerana parti berkenaan dilihat membawa agenda lebih besar dalam usaha menstabilkan landskap politik negara.
“Kami melihat Parti Wawasan Negara merupakan agenda besar dalam penstabilan politik negara serta satu jambatan untuk menyatukan parti politik Melayu seperti Pas dan UMNO.
“Pada masa sama, ia mampu merentasi jurang perbezaan kaum di Malaysia,” katanya.
Hanis berkata, keputusan berkenaan dibuat dengan penuh tanggungjawab selepas mengambil kira kepentingan ahli serta keperluan untuk membawa perjuangan politik yang lebih selari dengan aspirasi akar umbi. – MalaysiaGazette
















