MELAKA – Beberapa pelancong terkejut melihat Melaka kini semakin membangun berbanding lima tahun lalu dengan mengekalkan wajah sejarah yang menjadi identiti negeri ini di sebalik kepelbagaian produk pelancongannya.
Muhammad Zulhaimi Abdul Mutalib, 41, dari Pulau Pinang berkata, perubahan Melaka amat ketara berbanding kunjungan terakhirnya kira-kira lima hingga enam tahun lalu, terutama dari segi pembangunan dan perjalanan yang disifatkannya semakin baik.

Menurutnya, apa yang menarik perhatian adalah pembangunan yang berlaku tidak menghilangkan identiti sejarah Melaka.
“Sekarang ini lagi maju, perjalanan pun nampak sudah semakin baik (lancar) dan Melaka sudah banyak berubah.
“Yang paling menarik, walaupun semakin membangun, bangunan-bangunan sejarah masih dikekalkan dan itulah yang saya rasa ‘best’ tentang Melaka,” katanya.

Pandangan sama dikongsikan, Nur Soffira Raiman, 37, yang berkata, pengalaman memasuki Melaka menerusi Merlimau, Jasin bersama suaminya itu menaiki motosikal berkuasa tinggi memperlihatkan kepadanya perkembangan pembangunan negeri ini yang masih rancak.
“Berbaloi datang ke Melaka. Kami sebelum ini selalu pergi ke Terengganu, tetapi kali ini buat pertama kali mengelilingi Semenanjung dengan motosikal.
“Dari Terengganu, Johor dan kemudian sampai ke Melaka, kami dapat lihat sendiri negeri ini masih mempunyai banyak tarikan dan pembangunannya nampak begitu progresif,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelancong dari utara, Asri Muhammad Ghazi, 46, menyifatkan Melaka masih mempunyai potensi besar untuk terus menjadi pilihan pelancong, namun beberapa penambahbaikan boleh dilakukan.
Asri yang menghabiskan empat hari tiga malam di Melaka berkata, terdapat penambahan lokasi dan tarikan baharu termasuk di sekitar A Famosa yang dilihat mampu memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

“Melaka sekarang banyak tambahan tempat lawatan. Mudah-mudahan kerajaan negeri terus menambah tempat-tempat lawatan untuk menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Tapi saya lihat kuasa membeli pengunjung sedikit berkurangan mungkin kerana tabiat pengguna yang kini lebih banyak melakukan pembelian secara dalam talian.
Asri pada masa sama menyifatkan promosi pelancongan Melaka sudah baik, namun menyarankan ia dipergiatkan lagi menerusi platform media sosial seperti TikTok, selain memperkenalkan lebih banyak program dan tarikan baharu.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pelancong mempunyai lebih banyak sebab untuk datang semula ke Melaka.
Bagi Nor Hafizah Bongsu, 37, dari Kedah pula, sejarah, lokasi pelancongan dan makanan menjadi antara faktor utama dia memilih Melaka sebagai destinasi kunjungan.
“Saya datang sebab hendak tengok tempat bersejarah, kemudian memang banyak tempat pelancongan yang menarik.
“Makanan pun ‘best-best’, sebab itu saya pilih Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette
















