JOHOR BAHRU – Pengendali kepada satu daripada dua bot penumpang yang berlanggar di Kuala Sungai Mersing, Mersing, ditahan untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan pukul 12 tengah hari, semalam dan ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.
“Terdahulu bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun.
“Dia merupakan pengendali salah sebuah bot yang terlibat dalam kemalangan, bagi membantu siasatan.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama empat hari, bermula hari ini Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik.
Bagaimanapun, katanya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia negatif daripada sebarang jenis dadah.
Ab Rahaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahuan dengan gopoh.

Tambahnya, siasatan adalah selari dengan siasatan kes mati mengejut (SDR).
Pada masa sama, Ab Rahaman menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kelmarin, portal ini melaporkan dua maut manakala beberapa lagi penumpang cedera dalam insiden dua bot bertembung berhampiran Kuala Sungai Mersing, Mersing.
Ab Rahaman dalam satu sidang akhbar semalam, memaklumkan polis sedang menyiasat sama ada dua bot penumpang yang terbabit dalam kemalangan itu beroperasi dengan permit serta lesen sah atau sebaliknya.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya turut meneliti sama ada pengendali kedua bot itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan syarat keselamatan ditetapkan mengikut lesen masing-masing ketika kejadian.- MalaysiaGazette
















