BANDAR BARU BANGI – Tahap kesiapsiagaan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menerima dan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) direkodkan pada 75 peratus.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berdasarkan tinjauan yang dijalankan KDN bagi menilai tahap kesediaan wargabya sebelum kementerian memperluaskan penggunaan AI.
Beliau berkata, KDN ketika ini mempunyai 11 agensi di bawahnya, termasuk agensi penguatkuasaan seperti polis, imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan penjara.
“KDN kami macam sebuah kerajaan, kami ada 11 agensi. We are just like the government by itself.
“Tahap kesediaan staf di KDN untuk mendukung AI berada pada tahap 75 peratus,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian The 6th International Cyber Resilience Conference (CRC2026) di Hotel Bangi Resort, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, angka itu diperoleh ketika beliau mengarahkan Bahagian Dasar KDN melakukan tinjauan bagi mengukur tahap kesediaan warga kementerian terhadap inisiatif AI.
Bagaimanapun, katanya, beliau belum berpuas hati sepenuhnya dengan tahap berkenaan kerana masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Apakah saya sudah berpuas hati? Tentulah keseluruhannya belum sebab saya masih nampak banyak ruang lagi.
“Apakah kita bergerak ke arah itu? Ya. Apakah kita bersedia? Komitmen itu jawapannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















