BANDAR BARU BANGI – Malaysia merekodkan peningkatan hampir dua kali ganda kes jenayah siber dalam tempoh setahun, dengan jumlah kerugian melonjak kepada RM2.97 bilion pada 2025 berbanding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 66,204 kes jenayah siber direkodkan sepanjang 2025 berbanding 35,368 kes pada 2024.
Beliau berkata peningkatan berkenaan menunjukkan jenayah siber bukan lagi ancaman terpencil atau semata-mata isu teknologi, sebaliknya sudah menjadi isu keselamatan dan penguatkuasaan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Kes dan kerugian hampir berganda dalam tempoh satu tahun.
“Di sebalik setiap angka ini ada manusia, rakyat kehilangan simpanan, keluarga ditipu dan pekerja terperangkap dengan sindiket,” katanya ketika berucap pada pembukaan Persidangan Kebingkasan Siber Antarabangsa Keenam (CRC 2026) di Bangi Resort Hotel, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, perubahan cara jenayah dilakukan memerlukan pendekatan baharu daripada agensi keselamatan, termasuk memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dalam menangani jenayah yang berlaku merentasi sempadan fizikal.
Menurut beliau, perkembangan teknologi yang pesat turut mewujudkan ruang baharu kepada penjenayah untuk mengeksploitasi kelemahan manusia dan sistem.
“Jenayah siber bukan hanya isu teknologi. Ia isu keselamatan, isu penguatkuasaan undang-undang dan bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia adalah tanggungjawab kita untuk melindungi rakyat.
“Apabila penjenayah mengubah cara mereka melakukan jenayah, kita juga mesti mengubah cara kita melindungi rakyat,” katanya.
Beliau berkata pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation perlu diperkukuh dengan membabitkan agensi penguatkuasaan, industri, akademia, penyedia teknologi dan rakan antarabangsa.
“Malaysia juga perlu memastikan tahap keselamatan siber terus menyokong keyakinan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta kepercayaan pelabur terhadap negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026, manakala pelaburan diluluskan pada tahun lalu mencecah RM431.1 bilion.
“Persekitaran selamat, terjamin dan stabil adalah asas kepada segala-galanya.
“Rakyat memerlukannya untuk hidup dengan yakin, perniagaan memerlukannya untuk berkembang dan berinovasi, manakala pelabur memerlukannya untuk memilih Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















