Othman dan isterinya, Zakiah menunjukkan gambar Zaki yang dikirimkan kepada mereka sebelum dilaporkan terputus hubungan.

KUBANG SEMANG – “Naluri kuat mengatakan anak saya masih atas gunung dan selamat, cuma mungkin terputus komunikasi serta tidak dapat turun berikutan laluan yang musnah.”

Itu keyakinan bapa Muhammad Zaki Othman, Othman Mat Zin, 67, yang percaya anaknya bersama dua rakan, Muhammad Muhaimin Abdul Rahman dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, masih bertahan selepas sembilan hari gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.

Othman berkata, keyakinannya itu berdasarkan gambar yang dihantar Zaki sehari sebelum kejadian banjir besar dan tanah runtuh melanda kawasan berkenaan pada 26 Ogos lalu.

Menurutnya, gambar itu menunjukkan Zaki bersama dua rakannya berada di kawasan puncak, manakala terdapat sungai di bahagian bawah lokasi mereka.

“Sehari sebelum kejadian, dia mengirim gambar menunjukkan mereka bertiga berada di kawasan puncak dan sungai kelihatan di bawah.

“Hati saya kuat mengatakan mereka masih berada di atas gunung itu, cuma mungkin terputus talian komunikasi dan tidak dapat turun kerana laluan sudah rosak akibat bencana.

“Kami setiap hari tidak putus berdoa supaya mereka ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kubang Semang di sini, hari ini.

Othman menunjukkan basikal milik Zaki (merah) dan rakan baik anaknya, Muhaimin (hitam), yang masih berada di kediaman mereka kerana pemuda itu sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Othman berkata, satu lagi perkara yang sedikit melegakan keluarganya ialah bekalan makanan yang dibawa anak ketiga daripada empat beradik itu dipercayai mencukupi untuk lebih seminggu.

“Beg yang dibawa Zaki besar, macam beg askar dan dia memang bawa banyak makanan. Saya pernah tanya, boleh bawa ke semua itu dan dia mengatakan bekalan itu untuk keperluan mereka selama beberapa hari di sana.

“Jadi, itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kami dan membuatkan saya yakin mereka mampu bertahan sementara menunggu bantuan,” katanya.

Beliau berkata, Zaki yang sememangnya aktif dalam aktiviti lasak dan pendakian juga seorang yang biasa membuat persediaan sebelum melakukan aktiviti berkenaan.

Katanya, anaknya sebelum ini pernah mendaki beberapa lokasi termasuk Gunung Kinabalu, selain aktif berbasikal bersama Muhaimin yang dianggap seperti keluarga sendiri.

“Kalau dia pergi mendaki, biasanya dia akan sentiasa berkongsi perkembangan dengan kami, kecuali apabila berada di kawasan yang tiada talian.

“Jadi, apabila kali ini dia tidak dapat dihubungi, kami faham mungkin masalah komunikasi, lebih-lebih lagi keadaan di sana sangat teruk,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, keluarga turut diminta menyediakan sampel DNA sebagai langkah persediaan pihak berkuasa.

“Pihak forensik polis sudah menghubungi saya dan meminta beberapa barangan seperti baju, berus gigi serta kad rawatan pergigian untuk tujuan pengesahan DNA.

“Saya dan kakak Zaki akan membuat temu janji dengan pihak polis bagi urusan itu, namun bagi kami ini hanyalah persediaan dan bukan bermakna kami sudah berputus asa,” katanya.

Zaki satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik.

Othman berkata, keluarga juga sentiasa menerima perkembangan daripada Wisma Putra menerusi kumpulan WhatsApp yang diwujudkan untuk waris, namun berharap kerajaan Nepal memberikan ruang kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia untuk menyertai operasi di kawasan berkenaan.

“Kami merayu kerajaan Nepal supaya membenarkan pasukan SAR Malaysia untuk masuk membantu operasi pencarian.

“Sudah sembilan hari. Kalau ada pasukan kita yang mempunyai kepakaran, biarlah mereka masuk dan membantu pencarian.

Sementara itu, ibu Zaki, Zakiah Hashim, 62, yang berhenti kerja di bank sejak 2016 kerana masalah kesihatan, turut berharap anak lelaki tunggalnya itu ditemukan dalam keadaan selamat.

“Kami hanya mahu dia pulang dengan selamat. Kalau dia balik dengan selamat, kami akan buat kenduri sebagai tanda syukur,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhaimin bersama Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29, dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.

Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here