Setiausaha Akhbar KKDW, Fadzmel Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican yang mengatakan kementerian tersebut berbelanja melebihi peruntukan.

Setiausaha Akhbar KKDW, Fadzmel Fadzil menegaskan, Tatacara Kewangan Kerajaan tidak sesekali membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan yang telah diluluskan.

Ini sekali gus menghalang kementerian daripada membuat perbelanjaan sewenang-wenangnya.

Tambah beliau, sekiranya berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara tersebut tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan kerana sistem kewangan Kerajaan tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibelanjakan tanpa butiran dan peruntukan yang telah diluluskan.

“Pertama, saya tidak pasti bagaimana Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) boleh menyatakan bahawa KKDW telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.

“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan Kerajaan yang menggunapakai Intergrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS)

“Malah, setiap projek/program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/09/02/kkdw-belanja-lebih-peruntukan-jalan-luar-bandar-sejak-2023-mof/

https://malaysiagazette.com/2026/09/01/bukan-marah-saya-hot-saja-ahmad-zahid-tegur-isu-kelewatan-bayaran-kontraktor/

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan ia tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas peruntukan KKDW berhubung jalan luar bandar malah peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya.

Katanya, pada 2025 pula, KKDW membelanjakan RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.

Bagi 2026, peruntukan yang diluluskan ialah RM2.1 bilion dengan perbelanjaan berjumlah RM1.9 bilion setakat Jun lalu.

Johan berkata, setakat ini, bagi tahun 2026, MOF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Dalam pada itu, Fadzmel berkata, kenyataan Kementerian Kewangan juga tidak menyertakan data bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 yang amat penting untuk melihat keseluruhan kedudukan antara komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.

Ini kerana, dalam tempoh tersebut, negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang mana walaupun pelaksanaan sebahagian projek terjejas, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek-projek tertentu telahpun dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud pada tahun 2019 sehingga tahun 2021.

“Apabila projek-projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.

“Ini bermakna apabila kerja telah dilaksanakan oleh kontraktor, Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak.

“Projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan telah hampir digunakan sepenuhnya,” katanya lagi.

Menurut Fadzmel, KKDW juga telah mengambil langkah kawalan lebih awal antaranya penyusunan semula peruntukan dalaman Kementerian, mengehadkan komitmen baharu, membatalkan tender-tender yang berimpak tinggi untuk masyarakat desa serta mengehadkan projek di peringkat pra-pelaksanaan.

KKDW juga katanya turut mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Kewangan pada suku tahun kedua tahun 2026 untuk menampung keperluan pembayaran tertangguh bagi projek-projek yang sedang berjalan.

Dalam kenyataan yang sama, Fadzmel turut menyanggah Kementerian Kewangan yang menyatakan bahawa sebanyak RM300 juta peruntukan tambahan telah diluluskan juga perlu diperbetulkan.

Menurut beliau, RM300 juta tersebut bukan peruntukan tambahan, sebaliknya merupakan peruntukan yang sewajarnya disalurkan dan telah pun diberikan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada petang 1 September 2026 setelah isu ini disuarakan sekali lagi oleh Timbalan Perdana Menteri pada pagi hari yang sama.

Peruntukan ini katanya, bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.

Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan RM300 juta tersebut sebagai peruntukan tambahan baharu kepada KKDW.

“Walaubagaimanapun, kelulusan dan penyaluran RM300 juta berkenaan adalah amat dihargai. Namun, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran yang sedang dihadapi kerana pelarasan hanya akan dibuat pada hujung tahun 2026 berdasarkan penjimatan atau lebihan baki peruntukan Kementerian,” ujar beliau.

Katanya, pelbagai sesi konsultasi dan perbincangan telah dibuat bersama Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.

Tetapi, sebahagian daripada perkara yang dibangkitkan masih tertangguh dan belum mendapat penyelesaian yang tuntas.

Malah, menurut beliau, ramai mungkin tidak mengetahui bahawa peruntukan ini tidak dibayar secara terus oleh KKDW kepada kontraktor pelaksana tetapi peruntukan ini akan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya atau agensi penyelia pelaksanaan projek.

“Sebaiknya perkara ini tidak seharusnya menjadi pertikaian antara Kementerian. Apa yang lebih penting ialah mencari penyelesaian segera terhadap komitmen pembayaran yang telah wujud.

“KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh supaya segala komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan baik.

“Ini juga bagi memastikan persepsi seolah-olah KKDW melakukan kesalahan dalam perbelanjaan dan tidak berhemah dari segi amanah peruntukan,” kata beliau lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here