TASEK GELUGOR – Kerajaan dan pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan bagi menangani isu pencemaran kumbahan ladang babi di Kampung Selamat di sini, yang didakwa membebankan penduduk setempat sejak berpuluh-puluh tahun.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Bertindak Tasek Gelugor kini berusaha mengumpul bukti saintifik berhubung pencemaran berkenaan.
Menurutnya, pengambilan sampel dilakukan di kawasan Parit Cina dan disertai ADUN Permatang Berangan serta ADUN Pinang Tunggal.
“Usaha ini dianjurkan oleh Azlan Roni selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak dengan menggunakan sebuah syarikat penyelidikan saintifik swasta.
“Pihak Jawatankuasa Bertindak bercadang melakukan persampelan setiap bulan bermula bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful berkata, beliau sebelum ini membangkitkan isu pencemaran kumbahan babi di Kampung Selamat di Dewan Rakyat pada 17 Julai lalu.
Beliau menegaskan isu itu bukan polemik politik, perkauman mahupun agama, sebaliknya membabitkan kelangsungan hidup, kesihatan dan hak rakyat yang terbeban dengan masalah bau busuk serta pencemaran sungai selama berpuluh-puluh tahun.
“Pendirian kami tetap teguh dan tidak akan berganjak: Warga Tasek Gelugor tidak akan tunduk kepada pencemaran najis babi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa melaksanakan tiga penyelesaian jangka panjang, termasuk liberalisasi import daging babi secara terkawal dengan mencontohi model Singapura yang menetapkan piawaian sanitasi dan kualiti yang ketat.
Beliau turut mencadangkan pelan transisi industri seperti model perladangan tembakau ke kenaf bagi membolehkan penternak beralih kepada perternakan atau pertanian moden lain yang lebih mesra alam dan bernilai tinggi.
“Penutupan sepenuhnya ladang babi Kampung Selamat. Matlamat muktamad ini adalah demi menamatkan penderitaan penduduk setempat dan memulihkan ekosistem Sungai Kreh sepenuhnya.
“Rakyat Tasek Gelugor sudah cukup sabar dan menuntut komitmen ikhlas serta tindakan berani pihak berkuasa demi masa depan persekitaran yang bersih, sihat dan sejahtera,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















