Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin

KUANTAN – Persoalan mengenai dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ‘terlebih belanja’ perlu dijelaskan secara terperinci dengan mengemukakan dokumen, angka serta kronologi berkaitan waran peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan (MOF).

Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, rakyat berhak mengetahui asas kepada dakwaan berkenaan memandangkan kementerian tidak boleh berbelanja sesuka hati tanpa peruntukan dan kelulusan.

Menurutnya, dalam pengurusan kewangan kerajaan, perbelanjaan kementerian tertakluk kepada peruntukan, kelulusan dan waran yang dikeluarkan MOF dengan jumlah serta tujuan perbelanjaan tertentu.

“Kalau MOF yang meluluskan dan mengeluarkan waran, di bahagian mana sebenarnya KKDW dikatakan terlebih belanja?

“Adakah KDW membelanjakan wang melebihi jumlah dalam waran? Adakah terdapat perbelanjaan yang dibuat tanpa waran? Atau waran sebenarnya telah dikeluarkan, komitmen telah dibuat berdasarkan kelulusan tersebut tetapi dana atau aliran tunai belum disalurkan sepenuhnya?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga keadaan tersebut merupakan perkara yang berbeza dan tidak seharusnya disimpulkan hanya dengan ungkapan mudah bahawa KDW telah ‘terlebih belanja’.

Katanya, isu berkenaan perlu dijelaskan dengan fakta bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi dalam kalangan rakyat.

“Lebih-lebih lagi apabila sebahagian projek KKDW turut dilaksanakan melalui agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kalau benar tiada kelulusan atau peruntukan, bagaimana sesuatu projek boleh sampai kepada proses tender, pelantikan kontraktor dan pelaksanaan?” soalnya lagi.

Shahaniza berkata, perkara tersebut tidak perlu dijawab dengan retorik sebaliknya semua pihak perlu membuka dokumen berkaitan bagi membolehkan rakyat menilai kedudukan sebenar.

“Berapa jumlah yang diluluskan? Berapa jumlah sebenar yang dibelanjakan? Berapa jumlah yang telah disalurkan?

“Dan kalau benar terdapat perbelanjaan tanpa waran atau melebihi waran, nyatakan yang mana satu,” katanya.

Menurutnya, ketelusan berhubung perkara tersebut penting kerana ia membabitkan pengurusan wang rakyat dan prinsip akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa polemik berkaitan isu kewangan kerajaan sebelum ini, termasuk isu Tabung Haji, menunjukkan pentingnya dokumen, angka dan kronologi yang jelas bagi membolehkan masyarakat membuat penilaian berdasarkan fakta.

“Ini bukan soal mempertahankan sesiapa. Ini juga bukan soal menuduh sesiapa. Ini soal accountability.

“Kalau KKDW salah, tunjukkan di mana salahnya. Kalau waran telah dikeluarkan tetapi isu sebenarnya berkaitan penyaluran dana atau komitmen kewangan, jelaskan juga perkara itu dengan jujur,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here