KOTA BHARU – Usul supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Pas dikekalkan untuk ditandingi calon parti itu pada pilihan raya akan datang bukan bermaksud menutup ruang kerjasama politik, sebaliknya menjadi dasar Pas dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, usul berkenaan dibentangkan perwakilan Dewan Pemuda Pas Padang Terap dan diterima sebulat suara tanpa bahas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-67, malam tadi.
Menurut beliau, usul itu menetapkan semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi Pas di seluruh negara dikekalkan sebagai kerusi parti tersebut dan terus ditandingi calon Pas pada pilihan raya akan datang.
“Usul dari Padang Terap yang diterima tanpa bahas itu menetapkan semua kerusi Parlimen dan DUN di seluruh Malaysia yang telah dimenangi Pas dikekalkan sebagai kerusi Pas dan terus ditandingi calon Pas pada pilihan raya akan datang.
“Ia bagi memelihara amanah serta keyakinan pengundi yang memilih Pas sebagai wakil mereka, selain menjadi dasar dan prinsip utama Pas dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi bersama parti gabungan,” katanya kepada media selepas sesi pembentangan usul yang mendapat sokongan sebulat suara lebih 800 perwakilan.
Khairul berkata, usul berkenaan merupakan antara enam usul yang diluluskan sayap berkenaan untuk dibawa ke Muktamar Pas Pusat.
Katanya, lima lagi usul turut diluluskan, termasuk tiga usul yang diterima dan dibahaskan serta dua usul berbentuk cadangan.
Antara usul yang dibahaskan ialah mendesak kerajaan segera membuka kertas siasatan dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara bebas, telus dan menyeluruh dakwaan kewujudan jaringan ‘mafia korporat’ membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkepentingan serta projek berkaitan kerajaan.
Usul itu dibuat susulan pendedahan media antarabangsa yang didakwa berpotensi menjejaskan integriti dan tatakelola pentadbiran, mencemarkan reputasi Malaysia serta menggugat keyakinan pelabur terhadap negara.
Selain itu, Pemuda Pas turut meluluskan usul supaya agenda Penyatuan Ummah digerakkan secara tuntas, strategik dan segera sebagai agenda nasional bagi memperkukuh kesatuan serta representasi politik Melayu-Islam di Parlimen menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Sebagai langkah awal, satu Himpunan Penyatuan Ummah berskala besar hendaklah digerakkan sebelum PRU bagi menghimpunkan kekuatan umat, membina momentum kebersamaan dan menterjemahkan aspirasi penyatuan kepada suatu gerakan rakyat yang tersusun dan berimpak,” katanya.
Dalam pada itu, Pemuda Pas turut meluluskan usul mendesak kerajaan memperkenalkan kerangka kawal selia e-dagang yang lebih tegas bagi melindungi serta memperkasa daya saing usahawan tempatan daripada persaingan tidak adil.
Ia termasuk menangani lambakan produk luar dan tiruan, amalan penetapan harga pemangsa (predatory pricing), beban fi platform serta kelemahan perlindungan terhadap produk dan jenama tempatan.
Usul tersebut dicadangkan oleh perwakilan Dewan Pemuda Pas.
Sementara itu, dua lagi usul berbentuk cadangan ialah mewujudkan Lesen Memandu Motosikal Kelas B Automatik (B(A)) yang lebih relevan dengan keperluan penggunaan motosikal automatik serta memudahkan pematuhan undang-undang jalan raya.
Satu lagi cadangan ialah penubuhan Rumah Anak Yatim Integrasi Antara Kaum sebagai inisiatif kebajikan dan pendidikan.
Kedua-dua usul berkenaan dicadangkan perwakilan dari Ampang dan Bachok.
Mengulas mengenai sesi meluluskan usul yang diadakan lebih awal, Khairul berkata, perkara itu terpaksa dilakukan pada muktamar malam tadi sebelum majlis perasmian hari ini berikutan kekangan masa.
“Perubahan ini terpaksa dibuat atas faktor kekangan masa serta bagi memberi ruang kepada beberapa pengisian utama dalam Ucapan Utama Ketua Pemuda untuk diketengahkan pada Majlis Perasmian, memandangkan kehadiran tetamu penting esok dalam jumlah yang agak besar,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar Pemuda Pas ke-67. – MalaysiaGazette
















