BANDAR BARU BANGI – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dijadikan senjata politik, namun dapatan yang terkandung di dalamnya juga tidak boleh dipandang ringan atau ditutup kerana kebimbangan terhadap implikasi politik.

Presiden Wadah, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, laporan RCI berkenaan perlu dilihat dengan fikiran yang jernih dan hati yang bersih kerana ia bukan laporan mana-mana parti politik, kerajaan tertentu mahupun pembangkang.

Sebaliknya, katanya, laporan berkenaan adalah hasil siasatan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jangan laporan RCI ini dijadikan senjata ataupun alat politik tetapi pada masa yang sama jangan pula dapatan RCI ini dipandang ringan atau ditutup, dikaburi kerana takut kepada implikasi politik.

“Kedua-duanya tidak betul. Politik tidak boleh mengatasi kebenaran tetapi kebenaran juga tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan politik,” katanya ketika berucap pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, di sini, hari ini.

Azam juga berkata, semua pihak perlu memastikan dapatan RCI diterjemahkan kepada proses muhasabah, pembaikan dan pembetulan demi mengembalikan keyakinan jutaan pendeposit TH.

“TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan kerana ia mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah pembangunan umat Islam di Malaysia,” katanya.

Katanya, institusi itu lahir daripada gagasan untuk membantu umat Islam, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mengumpulkan simpanan sedikit demi sedikit bagi menunaikan ibadah haji.

“Apabila kita berbicara tentang TH, kita sebenarnya berbicara tentang kepercayaan jutaan pendeposit.

“Kepercayaan tidak boleh dinilai hanya dalam bentuk ringgit dan sen. Ia mempunyai dimensi amanah syariah, moral, sosial dan kenegaraan,” katanya.

Sehubungan itu, Azam menegaskan pengurusan TH mesti berteraskan integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Beliau turut mengingatkan RCI bukan titik penamat, sebaliknya titik permulaan kepada usaha memperkukuh institusi berkenaan untuk tempoh jangka panjang.

“Tujuan akhirnya bukan sekadar mencari siapa yang salah. Tujuan akhirnya ialah memastikan Tabung Haji menjadi lebih kukuh daripada sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, perbincangan mengenai masa depan TH juga perlu melangkaui persoalan jumlah hibah tahunan.

“Ia perlu mengambil kira daya tahan institusi itu untuk tempoh 20, 30 malah 50 tahun akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here