KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menganggarkan keperluan peruntukan sekitar RM4 bilion setahun bagi memastikan pelaksanaan projek Jalan Luar Bandar (JALB) dapat diteruskan secara teratur dan mengikut jadual.

KKDW dalam kenyataan berkata, pelaksanaan projek JALB melibatkan projek pembangunan yang dilaksanakan secara berperingkat dan sebahagiannya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

“Justeru, peruntukan yang disediakan setiap tahun perlu mengambil kira projek yang sedang berjalan serta projek baharu yang telah diluluskan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bagi 2026, projek JALB menerima peruntukan RM2.107 bilion dan sehingga 1 September, sebanyak 415 projek telah dilaksanakan dengan perbelanjaan sekitar RM1.995 bilion atau 94 peratus dapat diteruskan sehingga siap.

Jelas KKDW, keadaan ini menunjukkan tahap pelaksanaan projek yang aktif di seluruh negara dan keperluan untuk memastikan projek yang sedang berjalan dapat diteruskan dengan teratur sehingga siap.

KKDW menambah, kementerian itu sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peruntukan yang tersedia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, dengan keutamaan diberikan kepada kesinambungan projek yang sedang dilaksanakan.

Kementerian itu turut menghargai kelulusan peruntukan tambahan RM300 juta oleh Kementerian Kewangan (MOF) yang disifatkan dapat membantu memenuhi keperluan semasa pelaksanaan projek JALB.

KKDW berkata pembangunan jalan luar bandar bukan sekadar pelaksanaan projek fizikal kerana kemudahan jalan yang baik memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian masyarakat.

“Antaranya memudahkan anak-anak ke sekolah, penduduk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik, petani membawa hasil ke pasaran, peniaga menjalankan kegiatan ekonomi serta masyarakat mendapat akses yang lebih baik kepada pelbagai perkhidmatan asas,” katanya.

Atas kepentingan tersebut, KKDW akan terus memberi perhatian kepada pelaksanaan projek JALB supaya pembangunan yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, KKDW akan terus memberi perhatian kepada pelaksanaan projek JALB supaya pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

KKDW turut akan bekerjasama dengan MOF, Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan bagi memastikan perancangan projek dan keperluan peruntukan dapat diselaraskan secara lebih berkesan dan mampan.

“Pada masa sama, setiap peruntukan akan terus diurus secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi tatacara kewangan kerajaan.

“Keutamaan KKDW kekal kepada rakyat iaitu memastikan pembangunan luar bandar dapat diteruskan, kemudahan asas dipertingkatkan dan manfaatnya sampai kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here