KOTA BHARU – Pas bersetuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal bagi menamatkan ketidaktentuan politik negara dan memberi peluang kepada rakyat menentukan semula mandat pemerintahan, selari dengan pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, terdapat keperluan untuk PRU16 dipercepatkan bagi membolehkan negara keluar daripada kemelut politik yang berlarutan.
“Saya melihat ada keperluan untuk mengadakan (PRU) lebih awal. Saya setuju bahawa dalam situasi keadaan yang tidak menentu begini, kita kena keluar daripada kemelut yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-67, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid dipetik berkata, lebih baik PRU16 diadakan lebih awal, berbanding tempoh penggal Parlimen yang hanya akan berakhir penghujung tahun depan.
Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, jika penggal Parlimen tamat sehingga penghujungnya, gabungan itu bersedia menghadapinya.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PRU lebih awal juga berpotensi menyelaraskan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk diadakan secara serentak, sekaligus mengurangkan kos yang perlu ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, tempoh berpolitik yang terlalu panjang turut menyebabkan rakyat terus dibelenggu persoalan politik sehingga menjejaskan tumpuan terhadap agenda lain.
“Setahun lebih kita kena hadapi situasi macam ini. Saya rasa rakyat dah letih dengan situasi ini,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama Pas dan UMNO pada PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa perundingan kedua-dua parti untuk dibincangkan.
Beliau berharap rundingan berkenaan dapat menyelesaikan isu pembahagian kerusi dan mengelakkan pertembungan antara parti yang mahu bekerjasama.
Katanya, Pas menghormati usul Pemuda Pas supaya kerusi yang dimenangi parti itu kekal ditandingi calon Pas, namun ruang rundingan dengan rakan kerjasama masih terbuka bagi meminimumkan pertembungan.
“Bila kita ada muafakat, ada beberapa asas yang perlu kita adakan, iaitu kerusi penyandang kekal pada parti pemenang. Itu asas.
“Di mana-mana pun, pada PRU14 kita guna format yang sama. Cuma di Melaka, dan saya rasa walaupun mungkin ada setengah negeri, contohnya di Terengganu, Kedah dan Perlis, UMNO tidak ada yang menang.
“Jadi, di negeri-negeri macam ini saya rasa kita ada kaedah-kaedah lain yang perlu dibincangkan.
“Tapi, yang penting ialah muafakat. Kalau semua pihak bersetuju, kita akan ada jalan. Meminimumkan pertembungan itu lebih utama,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim menegaskan, agenda penyatuan yang mahu dibawa Pas termasuk menerusi kerjasama dengan UMNO, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi merangkumi semua rakyat Malaysia.
Katanya, penyatuan berkenaan bertujuan membina masa depan negara yang lebih baik tanpa mengetepikan hak masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.
“Penyatuan ini ialah untuk negara kita, untuk masa depan negara. Jadi, bukan hanya menyatukan orang Melayu, tetapi teras kepada politik Malaysia ialah majoriti orang Melayu.
“Pengalaman kita sejak merdeka pun UMNO, Barisan Nasional memerintah lama dan orang bukan Melayu tidak diketepikan. Maksudnya, mereka ada hak yang diberikan.
“Penyatuan ini bukan mengetepikan hak bukan Melayu atau hak bukan Islam. Mereka rakyat negara kita yang perlu kita raikan bersama,” ujarnya.
Beliau berkata, konsep penyatuan itu juga merupakan penghargaan terhadap pengorbanan semua bangsa dalam membangunkan negara.
Bagaimanapun katanya, Pas menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh mencetuskan polemik, keraguan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Penyatuan ialah penghargaan kepada pengorbanan semua bangsa terhadap negara kita. Cuma kita tolak puak-puak ekstremis yang melampau, yang menimbulkan polemik, keraguan dan masalah dalam kalangan rakyat serta pelbagai isu yang berlaku sebelum ini. Itu yang kita tolak,” katanya. – MalaysiaGazette
















