JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri, menteri atau Presiden parti yang menganggotai Kabinet tidak ada hak bawah Perlembagaan mendesak perdana menteri secara terbuka mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menurut kehendak mereka agar PRU16 diadakan dengan segera.
Tegas beliau, bila Parlimen akan dibubarkan dan bila pula PRU-16 perlu diadakan adalah terletak di bawah kuasa prerogatif perdana menteri.
“Sekiranya menteri berkenaan dan parti politiknya tidak bersetuju dengan keputusan perdana menteri yang telah membuat keputusan sebelum ini bahawa PRU-16 akan diadakan sehingga tamat tempoh Parlimen ke-15.
“Maka menteri yang berkenaan jika bertegas tidak bersetuju dengan keputusan itu, maka perkara yang menasabah dan bermaruah yang perlu dilakukannya ialah dengan meletakkan jawatan sebagai seorang menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Ini bersesuaian dengan kehendak Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu satu pelanggaran nyata menteri berkenaan yang juga seorang Timbalan Perdana Menteri terhadap doktrin tanggungjawab bersama-sama menteri.
“Cara bekerja jemaah menteri atau Kabinet Kerajaan Persekutuan berdasarkan kepada dua doktrin yang dipanggil Tanggungjawab Bersama Menteri (Collective Ministerial Responsibility) dan tanggungjawab menteri secara individu (Individual Ministerial Rrsponsibility),” katanya.
Jelasnya, di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jemaah menteri perlu bertanggungjawab secara bersama-sama kepada Parlimen.
“Kuasa perdana menterilah untuk menasihatkan Yang di- Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-16 sebagaimana Perkara 40(1) dan tertakluk Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.
Baru-baru ini , Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan komitmen gabungan itu sekiranya PRU-16 diadakan lebih awal.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, hal ini bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan memperoleh mandat baharu daripada pengundi.
“Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.
“Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya,” katanya.- MalaysiaGazette
















