KUALA LUMPUR – Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan melepaskan peluang untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mudah, namun dibuat selepas mengambil kira kepentingan dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh.
Hamidin yang juga Presiden Kehormat FAM dalam kenyataan hari ini berkata, beliau mahu badan induk bola sepak negara terus kukuh, bersatu dan kembali mendapat keyakinan rakyat, khususnya penyokong serta peminat bola sepak tanah air.
“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan. Bagi saya, ia satu amanah dan kepercayaan besar daripada keluarga bola sepak Malaysia yang sentiasa saya junjung.
“Namun, setelah mempertimbangkan kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh, saya percaya langkah ini membuka ruang terbaik untuk FAM melangkah ke era baharu, sekali gus memastikan organisasi kekal fokus dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Hamidin berkata beliau juga enggan sesi pemilihan FAM menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan atau menjejaskan usaha badan induk itu dalam melaksanakan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.
“Apa yang lebih penting bagi saya adalah memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan baik dan kepimpinan seterusnya dapat memberi tumpuan penuh kepada usaha membina masa depan bola sepak negara,” katanya.
Semalam, FAM mengumumkan senarai calon yang disahkan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029 yang akan berlangsung sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 Sept.
Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan akan berhadapan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar dalam saingan dua penjuru bagi merebut jawatan presiden.
Selain jawatan presiden, tumpuan turut terarah kepada persaingan bagi jawatan Naib Presiden 1 dan 3 serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi kategori persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab (FC).
Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjawat jawatan Presiden FAM dari 2018 hingga 2025 sebelum dilantik sebagai Presiden Kehormat pada Jun tahun lepas.
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang dilantik sebagai Presiden FAM pada kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu pada 15 Februari 2025 hanya memegang portfolio itu selama enam bulan selepas meletak jawatan pada Ogos tahun sama. – BERNAMA
















