BATU PAHAT – Masalah kesesakan di Jambatan Parit Sulong di sini terutama setiap hujung minggu dan musim perayaan akan dibawa kepada kementerian berkaitan dan kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, kerja-kerja melebar dan meluaskan laluan sedia ada perlu dilakukan.
Jelasnya, ketika ini kesesakan sering berlaku dari kedua-dua arah sama ada dari Yong Peng ke Muar atau sebaliknya sehingga mengganggu aliran trafik termasuk sesak di pekan Parit Sulong.
“Beberapa cadangan yang diberikan termasuk perlebaran jambatan bagi mengatasi masalah berkenaan akan dibincangkan dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Namun ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan berikutan memerlukan peruntukan besar serta perancangan teliti agar penyelesaiannya nanti akan memberikan keputusan tuntas terhadap masalah dibangkitkan penduduk,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, langkah drastik yang akan dilakukan setelah mengambil kira keadaan semasa adalah mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja pelebaran sebelum dan selepas jambatan dari dua arah.
“Saya dan pihak JKR telah melihat sendiri dan bersetuju untuk menyediakan kertas cadangan bagi penyelesaian jangka pendek iaitu melebarkan bahagian side table dihujung kedua-dua bahagian jambatan.
“Sementara cadangan pelebaran jambatan akan dibawa kepada pihak Kerajaan Negeri Johor dan juga pihak kementerian berkaitan untuk dipertimbangkan perlaksanaannya,” katanya.
Menurut Zulkarnain lagi, kesesakan sering berlaku apabila tiba musim cuti atau hujung minggu apabila orang ramai balik ke kampung halaman masing-masing terutama sekali pada musim perayaan.
“Keadaan ini berlaku akibat pertambahan kenderaan yang berlipat kali ganda daripada hari-hari biasa dan jambatan ini menjadi salah satu laluan penduduk samada dari Yong Peng atau Muar,” katanya.- MalaysiaGazette
















