AMPANG – Amalan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek untuk dibawa ke mahkamah perlu dihentikan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwara Ibrahim hari ini.
Beliau berpendapat, ini kerana tindakan tersebut memberi persepsi berbeza kerana individu itu masih disiasat dan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.
“Sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju oren pun tak payah. Kalau tanya untuk siasat, siasat dulu.
“Kalau ada kes untuk didakwa, saya serah kepada badan penguatkuasa tentang baju warna apa. Tapi kalau setakat ini, saya hormati pandangan kerana orang yang rasa bagi kerjasama dalam siasatan. Tak perlulah dikenakan baju oren kerana beri persepsi yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat dan solat sunat jenazah di Masjid Bukit Indah di sini hari ini.
Beliau sebelum itu diminta mengulas cadangan agar Lembaga Tabung Haji (TH) yang kini dalam proses memperhalusi rangka kerja kawal selia baharu bagi meletakkan operasi pelaburannya di bawah pengawasan berkanun Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Kelmarin, seorang bekas menteri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH berkaitan pelaburan pajakan hotel di Mekah dan Madinah.
Perintah reman bermula sehingga 6 September ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Beliau yang bergelar Datuk Seri itu memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari di bawa ke mahkamah diiringi pegawai SPRM.
Beliau ditahan SPRM kira-kira 4.30 petang sehari sebelum itu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. – MalaysiaGazette
















