KUALA LUMPUR – Calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Shahril Mokhtar menawarkan manifesto berteraskan ketelusan, pembaharuan kepimpinan, pemerkasaan ahli gabungan dan kemampanan kewangan ekosistem bola sepak negara.
Shahril berkata, tumpuan utamanya ialah memperkukuh ketelusan dalam pengurusan FAM, susulan isu yang dibangkitkan menerusi audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru-baru ini.
“Kalau kita lihat daripada audit AFC baru-baru ini, banyak isu seperti ketirisan dan ketidaktelusan.
“Itu yang pertama. Yang kedua, kepimpinan cara baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis Kerjasama strategik AFFIN Group dan Selangor FC di Menara AFFIN, TRX, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu berkata, budaya terlalu akur kepada kepimpinan perlu dihapuskan, khususnya dalam usaha membawa FAM bergerak seiring dengan tuntutan generasi baharu.
Shahril yang mengakui dirinya calon “underdog”, turut menekankan keperluan melihat kedudukan kewangan secara menyeluruh, meliputi liga, kelab dan ahli gabungan.
Beliau berkata, manifestonya memberi tumpuan kepada perubahan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh tidak lebih tiga tahun.
Tokoh korporat berusia 54 tahun itu berkata, pengalaman kira-kira 30 tahun dalam bidang berkenaan, termasuk sedekad bersama Selangor FC, boleh dimanfaatkan untuk membawa perubahan kepada FAM.
Beliau berkata, banyak keputusan sukar perlu dibuat demi bola sepak negara dan percaya kepimpinan yang jelas, dibantu setiausaha agung atau ketua pegawai eksekutif berkaliber, mampu memastikan urusan FAM diurus dengan berkesan.
Semalam, FAM mengumumkan senarai calon yang disahkan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029, yang akan berlangsung sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 Sept ini.
Shahril akan berdepan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan bagi merebut jawatan Presiden.
Selain itu, tumpuan turut terarah kepada persaingan bagi jawatan Naib Presiden 1 dan 3 serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi kategori persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab (FC). – BERNAMA
















